Cari @ Amanz

OPPO Find X
Skrin 6.4” OLED, FHD+
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kyro 385 Gold 2.8 GHz
4 x Kyro 385 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 8GB RAM
Storan 256GB
Kamera Utama 16MP f/2.0 + 20MP f/2.0
Kamera Hadapan 25MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-Type-C
Sistem Android 8.1 Oreo, Color OS 5.1
Bateri 3730 mAh, VOOC
Berat & Ketebalan 186g, 9.6mm

Tahun 2018 menyaksikan banyak pengeluar hadir dengan rekaan skrin bertakuk setelah mengambil inspirasi daripada rekaan Essential Phone dan iPhone X. Perletakkan takuk ini membolehkan skrin mempunyai jumlah kawasan skrin lebih tinggi, namun sedikit mengganggu ruang di bahagian atas peranti. Rekaan bertakuk ini selalunya menempatkan beberapa perkakasan, antaranya kamera hadapan, saluran earpiece dan sejumlah sensor khas.

Disaat banyak pengeluar hadir dengan rekaan bertakuk ini, BKK Electronics iaitu syarikat induk untuk jenama OPPO, Vivo, dan OnePlus dilihat agresif dalam menawarkan rekaan skrin sepenuhnya. Vivo baru sahaja menawarkan Vivo NEX pada minggu lalu, dengan rekaan skrin tanpa takuk bersama kamera hadapan yang boleh dikeluarkan. Pada hari ini giliran OPPO pula hadir dengan OPPO Find X, dengan rekaan skrin yang serupa namun hadir dengan teknik yang unik untuk perletakkan kamera hadapan ini.


Dengan kehadiran OPPO Find X ini juga, ia juga telah membawa kembali siri Find iaitu siri yang memfokuskan fungsi flagship selepas lebih empat tahun mereka melancarkan OPPO Find 7. Melihat kembali apa yang dibawa oleh Find 7, OPPO dilihat banyak menempatkan inovasi baru pada siri ini, seperti kehadiran skrin Quad HD dan fungsi pengecasan pantas VOOC. Untuk OPPO Find X, OPPO juga telah menawarkan sejumlah inovasi baru pada peranti ini, yang mana cukup menjadi daya tarikan untuk rujukan masa hadapan.

Rekaan

OPPO Find X telah menawarkan skrin sepenuhnya tanpa perletakkan sebarang takuk, dengan kadar nisbah screen-to-body ratio mencapai 93.8%. Dengan binaan tanpa takuk ini, kedudukan kamera hadapan telah ditempatkan pada binaan atas peranti yang boleh dikeluarkan, yang mana dijalankan secara mekanikal. Apabila anda ingin menyahkunci peranti menggunakan wajah atau mengambil selfie, binaan yang dinamakan sebagai Stealth 3D Camera ini akan dinaikkan secara sendiri, yang mana cukup elegan apabila ia diaktifkan.

Pada percubaan singkat saya, binaan ini mampu dinaikkan dengan begitu pantas, tanpa sebarang isu menunggu atau lengah-masa untuk bersedia. Dari segi ketahanannya, OPPO mengatakan binaan ini mampu bertahan sekitar 300,000 kali bukaan atau kira-kira 5 tahun penggunaan (dengan kadar bukaan peranti sekitar 100 kali sehari).

Selain kamera hadapan, binaan mekanikal ini turut menempatkan sejumlah sensor imbasan wajah 3-dimensi, bagi membolehkan imbasan wajah dilakukan dengan lebih pantas, selamat, dan efisien. Dengan sistem imbasan yang khusus ini, ia memudahkan peranti dinyah-kunci dalam waktu gelap selain membolehkan ia digunakan sebagai mod pembayaran. Pada acara pelancaran peranti ini, OPPO telah mengumumkan kerjasama mereka bersama Alibaba melalui Alipay, dalam memudahkan pengguna membuat pembayaran tanpa tunai melalui imbasan wajah ini.

Untuk sokongan earpiece, OPPO tidak berkongsi sebarang maklumat di atas pentas, namun ia dilihat menggunakan teknik seumpama Vivo NEX dengan menyalurkan bunyi berasaskan getaran tubuh peranti.

Binaan mekanikal ini turut menutup dan melindungi sokongan dwi-kamera di bahagian belakang, yang mana turut akan dinaikkan secara automatik apabila pengguna mengaktifkan fungsi kamera. Binaan belakang ini menawarkan rekaan berasaskan kaca, dengan dua pilihan warna menarik menerusi Bordeaux Red dan Glacier Blue.

Berbeza dengan Vivo NEX, OPPO Find X tidak menawarkan sebarang sokongan pengimbas cap jari pada mana-mana bahagian, termasuk sokongan pengimbas cap jari di bawah skrin. Ia juga tidak menempatkan sebarang sambungan earphone jack 3.5mm dan sokongan pengecasan tanpa wayar seperti yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S9.

Binaan hadapannya menawarkan skrin sebesar 6.4-inci, dengan penggunaan panel berasaskan OLED. Cuma sedikit berbeza dengan siri Find 7, OPPO Find X hanya menawarkan resolusi Full HD+ berbanding resolusi Quad HD pada peranti keluaran empat-tahun yang lalu. Binaan hadapan ini juga menempatkan kaca sisi melengkung, dalam meningkatkan imej rekaan yang lebih menarik untuk dilihat.

OPPO Find X telah ditawarkan dalam satu pilihan storan sahaja iaitu sebesar 256GB, tanpa sebarang sokongan penambahan kad microSD. OPPO juga membawakan storan setinggi 512GB pada siri Find X ini, namun hanya ditawarkan secara eksklusif untuk Oppo Find X Automobili Lamborghini Edition.

Sistem

OPPO Find 7 telah dijana dengan antaramuka ColorOS 5.1 yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini dilihat masih membawakan homescreen tanpa perletakkan app drawer, sekaligus menempatkan kesemua ikon ditempatkan pada homescreen. Berbeza dengan iterasi ColorOS sebelumnya, ikonografinya telah dikemaskini dengan paparan yang lebih kemas dan moden, bersama antaramuka notification bar yang lebih minimal.

Perkara utama yang difokuskan pada ColorOS 5.1 ini ialah pengoptimasian Artificial Intelligence (AI) dalam membantu untuk memberikan kelancaran ketika membuka aplikasi. Selain itu juga, OPPO telah menjalin kerjasama mereka bersama Google, dalam memberi keupayaan Google Asssistant yang sentiasa bersedia, selain mengaktifkan fungsi Google Lens pada Assistant ini untuk memudahkan proses pengecaman sesuatu objek. Tetapi apa yang menarik sekali, peranti ini akan turut menerima Android P pada akan datang, sekaligus memberi jaminan kemaskini Android yang lebih terkini.

Kamera

OPPO Find X didatangkan dengan sistem dwi-kamera 16 MP (f/2.0, PDAF, OIS) + 20 MP (f/2.0) bersama keupayaan PDAF dan sokongan dwi-LED flash. Dengan kehadiran sistem penstabilan berasaskan optikal, peranti ini mampu mengambil gambar pencahayaan rendah dengan lebih tajam, selain memberi rakaman video yang lebih stabil. Namun agak sedikit mengecewakan, ia masih tidak menawarkan teknologi 5 x zoom seperti yang diperlihatkan pada acara MWC 2017, namun masih memberi keupayaan 2 x zoom seperti yang hadir pada OPPO R15 Pro.

OPPO Find X telah menawarkan sejumlah fungsi menarik pada aplikasi kamera ini seperti 3D Portrait Lighting dalam memberi pencahayaan yang berbeza pada wajah. OPPO juga mengatakan aplikasi kamera ini telah dioptimasikan bersama AI, untuk meningkatkan mutu penggambaran mengikut situasi berbeza. Seperti contoh, sekiranya anda mengambil gambar makanan, warna pada gambar akan dinaikkan, selain meningkatkan lagi ketajaman gambar tersebut. Dengan perletakkan sensor 3D pada bahagian hadapan, ia juga turut menyediakan Omoji, bagi membolehkan pengguna menggerakan wajah sesuatu animasi mengikut raut wajah anda.

Prestasi

OPPO Find X dijana dengan cip pemprosesan terkini daripada Qualcomm menerusi cip Snapdragon 845 bersama memori 8GB RAM. Cip ini menawarkan prestasi terpantas untuk telefon Android pada saat ini, dengan penawaran prestasi berasaskan CPU lapan-teras. Ia mempunyai dua kluster berbeza iaitu 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz dan 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz dalam memberi keseimbangan untuk kegunaan prestasi dan penjimatan bateri. Ia juga hadir dengan pemproses grafik Adreno 630, dalam memberi kelancaran yang tertinggi ketika memainkan permainan terutamanya permainan yang memerlukan grafik intensif.

Bagi menjayakan sejumlah inovasi pada peranti ini, cip ini telah berjaya meningkatknan proses AI dengan kadar tiga ganda lebih pantas, apabila dibandingkan dengan cip Snapdragon 835. Ia juga menawarkan kebolehan pemproses imej yang lebih berkualiti selain menempatkan modem LTE yang mampu mencapai kelajuan melebihi Gigabit LTE. Untuk sokongan grafik, ia bertindak balas lebih 30% pantas jika dibandingkan dengan cip Snapdragon keluaran sebelum ini.

Bateri

OPPO Find X menawarkan kapasiti bateri 3730 mAh, iaitu sebuah kapasiti bateri yang standard pada kebanyakan peranti berkelas flagship yang lain. Dengan kapasiti ini, ia dijangka akan memberi bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 5 jam SoT melalui pengoptimasian tenaga daripada cip Qualcomm ini. Untuk pengecasannya, ia masih membawakan pengecasan VOOC, yang membolehkan peranti dicas dari 0-100% dalam lingkungan masa 100 minit.

Sekiranya waktu pengecasan ini masih lama bagi anda, OPPO juga telah mengumumkan medium pengecasan pantas Super VOOC yang membolehkan pengguna mengecas peranti ini sehingga penuh dalam masa hanya 35 minit. Namun sokongan Super VOOC ini hanya ditawarkan untuk Oppo Find X Automobili Lamborghini Edition, jadi anda perlu berbelanja lebih untuk menikmati sokongan pengecasan terpantas ini.

Rumusan

OPPO Find X membawakan rekaan yang seharusnya digunakan pada hari ini, iaitu tidak meletakkan sebarang takuk pada bahagian hadapan. Tentunya terdapat cabaran dalam menempatkan beberapa perkara (seperti kamera hadapan), namun idea yang unik daripada pengeluar seperti ini sememangnya menjadi pemangkin untuk merealisasikan rekaan skrin sepenuhnya. Dengan inovasi hebat yang dipersembahkan pada Find X dan Vivo NEX sebelum ini, nampaknya binaan bertakuk pada skrin hanyalah persinggahan sementara, yang mana hanya akan menghantui rekaan peranti sekitar 2-3 tahun ini.

Seperti siri Find sebelum ini, OPPO juga berjaya menerajui kembali teknologi pengecasan pantas, dengan kepantasan hanya 35 minit untuk mengecas peranti dari 0-100% melalui Super VOOC. Namun buat masa ini, ia hanya terhad kepada Oppo Find X Automobili Lamborghini Edition, tetapi tidak mustahil ia akan dikembangkan ke produk OPPO yang lain pada masa akan datang.

OPPO Find X juga menjajikan pengalaman peranti flagship yang menepati kegunaan hari ini, seperti kehadiran cip Snapdragon 845, memori 8GB RAM, dan penggunaan skrin OLED. Ia juga menawarkan sokongan dwi-kamera berasaskan AI, kamera hadapan 25MP dengan sejumlah mod Portrait Lighting yang menarik, bersama kapasiti bateri 3730 mAh. Cuma saya mengharapkan ia hadir dengan pengecasan tanpa wayar, selain hadir dengan pengimbas cap jari sebagai alternatif ketika tidak dapat mengakses fungsi imbasan wajah.

Dengan rekaan peranti yang unik bersama penawaran spesifikasi tinggi, OPPO Find X telah disenaraikan pada harga 999 EUR (~RM4,628) untuk variasi standard dengan penawaran storan 256GB bersama memori 8GB RAM. Manakala untuk Oppo Find X Automobili Lamborghini Edition, ia telah ditawarkan pada harga 1699 EUR (~RM7871) dengan storan dalaman 512GB, memori 8GB RAM, bersama sokongan pengecasan terpantas Super VOOC. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat kemasukan peranti OPPO Find X ini ke Malaysia termasuk dari segi tarikh dan harga jualan rasmi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd