Carian
Kelak, Anda Boleh Membuat Bayaran Tempat Letak Kenderaan Menggunakan Aplikasi Boost
June 20, 2018 Aman

Boost merupakan salah satu dompet digital yang telah menawarkan kemudahan pembayaran nirtunai untuk pembelian barangan di sejumlah kedai dan juga pada kendera saji. Kini, Boost dilihat terus memperluaskan penggunaan dompet digital mereka, dan telah mengumumkan bakal menawarkan sokongan untuk membuat pembayaran parkir kenderaan melaluinya.

Boost Parking

Fungsi baru yang akan diperkenalkan dalam tempoh sekitar dua minggu lagi ini akan memudahkan pengguna membuat bayaran pada tempat letak kenderaan dengan mudah. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Boost untuk pembayaran, dan seperti biasa perlu mengesahkan lokasi dan nombor kenderaan.

Langkah ini juga akan mengelakkan keperluan pengguna untuk mencari duit syiling atau membeli sesuatu token untuk meletakkan kenderaan di beberapa lokasi. Boost dijangka akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penawaran ciri baru ini, dan dijangka berkongsi lanjut mengenainya – termasuk lokasi yang disokong dalam minggu-minggu akan datang.

Buat masa ini, salah satu aplikasi yang turut menawarkan kemudahan untuk menguruskan bayaran tempat letak kenderaan menggunakan aplikasi mudah-alih adalah JomParking.

Komen