Rakan Pembina Kad Grafik Dari Taiwan Dikatakan Memulangkan 300 Ribu Kad Grafik Kembali Ke NVIDIA

Rakan Pembina Kad Grafik Dari Taiwan Dikatakan Memulangkan 300 Ribu Kad Grafik Kembali Ke NVIDIA

Diterbitkan pada June 21, 2018 oleh .

Ura-ura mengenai kehadiran kad grafik terbaru dari NVIDIA tidak lama lagi nampaknya semakin rancak, dan berita terbaru mengenai sebuah syarikat rakan pembina kad grafik dari Taiwan yang memulangkan sejumlah besar kad grafik ke NVIDIA nampaknya bakal merancakkan lagi ura-ura tersebut.

Baru-baru ini, sebuah syarikat rakan pembina kad grafik dari Taiwan dikatakan telah memulangkan sebanyak 300 ribu kad grafik NVIDIA kembali kepada syarikat pembuat cip tersebut.

Lebihan kad grafik ini dikatakan hadir kerana untuk sekian lamanya, kad-kad grafik NVIDIA sering dibeli oleh pelombong kriptowang, dan sepanjang waktu tersebut, pihak NVIDIA telah berusaha keras untuk memastikan bahawa mereka yang ingin membeli kad-kad grafik ini boleh membelinya pada harga asal, dan bukan pada harga yang mahal dan tidak mampu-milik.

Akan tetapi, NVIDIA telah menunggu terlalu lama untuk memasukkan stok baru ke pasaran, dan kini, nampaknya mereka yang berminat untuk membeli kad grafik baru lebih selesa untuk menunggu waktu apabila NVIDIA mengumumkan kehadiran siri kad grafik terbaru mereka.

Ura-ura pemulangan 300 ribu unit kad grafik ini kepada NVIDIA dilihat sebagai bukti utama bahawa NVIDIA dilihat akan mengumumkan kad-kad grafik baru mereka dalam masa yang terdekat ini.

Secara ironiknya, jika ura-ura ini didapati benar, ia mungkin akan memaksa NVIDIA untuk menolak tarikh pelancaran kad grafik tersebut kerana mereka akan perlu menjual ataupun melepaskan semua kad-kad grafik ini untuk memastikan mereka mempunyai ruang inventori yang mencukupi untuk kad-kad grafik terbaru mereka.

Apa-apa pun kami akan menunggu untuk NVIDIA membuat pengumuman besar mengenai siri kad-kad grafik terbaru mereka, yang dikatakan akan tiba pada suku ketiga tahun ini.


TIPS & ULASAN