Samsung, Micron Dan Hynix Mungkin Disaman Di China Kerana Mengawal Harga Cip Memori DRAM Dunia

Samsung, Micron Dan Hynix Mungkin Disaman Di China Kerana Mengawal Harga Cip Memori DRAM Dunia

Diterbitkan pada June 22, 2018 oleh .

Beberapa tahun kebelakangan ini, harga DRAM dan harga memori dilihat menjadi semakin mahal kerana ia dikatakan bahawa cip memori DRAM mengalami masalah bekalan di seluruh dunia kerana permintaan yang tinggi, terutama dari syarikat-syarikat pembuat peranti pintar.

Oleh yang demikian, syarikat-syarikat pembuat memori seperti Samsung, Micron dan Hynix dilihat membuka kilang membina memori DRAM di China untuk membantu meningkatkan pengeluaran cip-cip tersebut, terutamanya untuk syarikat-syarikat pembina peranti di China.

Akan tetapi, walaupun kilang-kilang tersebut sudahpun beroperasi, harga cip memori DRAM dilihat masih berada di paras harga yang sangat mahal, dan ini membuatkan pengawal-selia di China membuat siasatan mengenai tahap harga tersebut.

DigiTimes melaporkan bahawa jika ketiga-tiga syarikat ini didapati bersalah mengawal harga DRAM, terdapat kemungkinan besar bahawa syarikat-syarikat ini akan disaman sebanyak $800 juta hingga ke $8.0 bilion. Nilai saman ini akan dikira berdasarkan nilai jualan memori oleh syarikat-syarikat ini kepada China sepanjang 2016 hingga 2017.

Menariknya, ini bukanlah kali pertama Samsung, Micron dan Hynix didapati bersalah mengawal pengeluaran dan harga memori DRAM.

Pada tahun 1999 hingga 2002, ketiga-tiga syarikat ini, bersama-sama dengan Infineon dan Elpida Memory disabitkan kesalahan mengawal harga memori di Amerika, dan kesemua syarikat-syarikat ini disaman, dengan Samsung menerima saman terbesar, sebanyak $300 juta.


TIPS & ULASAN