Sejak Apple membuang bicu audio pada iPhone 7 dua tahun lepas, lebih banyak syarikat kini mengikut jejak langkah syarikat buah ini. Tetapi, bagaimana pula dengan idea untuk membuang semua port yang ada pada sesebuah telefon pintar – adakah ianya satu idea yang baik?
Menurut laporan Bloomberg, sewaktu jurutera Apple menghasilkan iPhone X – mereka pernah merancang untuk hasilkan iPhone X tanpa sebarang port pengecasan. Untuk menjayakan idea ini, iPhone X akan dicas sepenuhnya menggunakan pengecasan tanpa wayar. Tetapi, idea ini kemudiannya dilupakan kerana pengecasan tanpa wayar masih lagi perlahan berbanding pengecasan dengan wayar.
Tidak dinafikan, akan datang Apple akan hasilkan sebuah iPhone yang bebas daripada port pengecasan. Bilakah Apple akan mula perkenalkan iPhone seperti ini? Mungkin lambat lagi. Ini kerana desas-desus baru-baru ini, iPhone tahun ini akan menggantikan port Lightning dengan USB-C.