Pada tahun ini, kita telah melihat beberapa syarikat teknologi mula menawarkan kebolehan untuk mengawal masa anda menggunakan sesuatu perkhidmatan, sekaligus mengelakkan anda membazir masa yang lama tanpa hala tuju. Sebelum ini kita telah melihat YouTube memperkenalkan ciri berkenaan, selain Instagram mengujinya dalam bentuk pembangunan. Apple dan Google juga telah mula mengintegrasikan ciri lebih kurang sama pada sistem operasi mudah-alih mereka yang terbaru.
Kini, tidak ketinggalan adalah Facebook. Dilaporkan terlebih dahulu oleh TechCrunch, ciri baru yang sedang diuji ini dinamakan sebagai “Your Time On Facebook“.
Melaluinya, pengguna boleh melihat masa penggunaan Facebook anda – sekaligus membolehkan anda menguruskan masa dengan lebih berkualiti berbanding hanya membazirkan masa melayari laman sosial berkenaan.
Pengguna juga dilihat boleh menyertakan sokongan peringatan – dimana notifikasi dipaparkan apabila anda mencapai had masa yang telah ditetapkan untuk melayari Facebook pada sesuatu hari.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah ciri ini akan diperkenalkan secara rasminya. Tetapi bagi kami sendiri, ini merupakan salah satu ciri yang dinantikan kami untuk mencubanya dan menggunakannya dalam usaha terus mempertingkatkan produktiviti harian.