Xiaomi dan Oppo membuktikan sistem imbasan wajah secara tiga dimensi boleh digunakan pada peranti Android seperti Face ID iPhone X. Sistem ini jauh lebih selamat berbanding imbasan dua dimensi yang digunakan di pasaran sekarang. Menurut laporan The Bell, fungsi ini akan disokong pada Samsung Galaxy S10 tahun hadapan.
Samsung dipercayai melakukan kerjasama dengan firma Mantis Vision untuk membangunkan teknologi ini. Besar kemungkinan Galaxy Note 9 akan menjadi peranti terakhir Samsung yang menggunakan sistem imbasan anak mata. Tidak seperti Oppo Find X, Galaxy S10 dipercayai akan menyertakan sistem imbasan cap jari tetapi terbina dalam skrin seperti yang digunakan pada Vivo NEX. Ini adalah bagi memberikan pilihan kepada pengguna yang mungkin lebih selesa dengan sistem imbasan cap jari.
Kedua-dua teknologi ini amat popular sepanjang 2018. Oleh itu Samsung tiada pilihan selain menyertakannya pada peranti utama mereka bagi mengelakkan kritikan dari pengguna. Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Adakah dua sistem imbasan ini perlu atau sekadar gimik jualan?