Akon Memperkenalkan Kriptowang AKoin – Juga Mempunyai Pelan Untuk Membina Bandar Berdasarkan Rantaian Blok

Akon Memperkenalkan Kriptowang AKoin – Juga Mempunyai Pelan Untuk Membina Bandar Berdasarkan Rantaian Blok

Diterbitkan pada June 25, 2018 oleh .

Jika anda seorang peminat muzik, nama Akon pastinya kedengaran biasa bagi anda. Di acara Cannes Lions International Festival of Creativity yang berlangsung baru-baru ini, artis tersebut mengumumkan bahawa beliau sedang merancang untuk memperkenalkan kriptowang baru yang dinamakan AKoin.

Akon menyatakan keinginannya untuk meningkatkan lagi mutu kehidupan rakyat di rantau Afrika, terutamanya tanah air beliau, Senegal. Dengan matlamat tersebut, beliau ingin menggunakan teknologi rantaian blok dan kriptowang, bersama-sama dengan organisasi bukan kerajaannya, Akon Lighting Africa yang sudahpun bertapak di 18 negara di rantau tersebut.

Teknologi di belakang kriptowang AKoin ini masih belum diterangkan dengan penuh, tetapi menurut Akon, beliau akan menjawat beberapa jurutera kriptowang untuk membina rantaian blok dan kriptowang ini.

Dalam pada itu, Akon juga berkongsi pelan untuk membina bandar yang dikuasakan oleh AKoin yang dinamakan Akon Crypto City. Bandar ini dikatakan akan dibina diatas tanah bersaiz 2000 ekar yang diberikan kepada Akon oleh Presiden Senegal, dan akan menggunakan AKoin dan rantaian blok untuk meningkatkan mutu dan taraf hidup rakyat di rantau Afrika.

Laman web AKoin juga menunjukkan gambaran aplikasi dompet digital AKoin Digital Wallet yang bukan sahaja akan membolehkan pengguna membeli barang, tetapi juga untuk membayar bil, memohon untuk pinjaman kewangan, menerima gaji dan pelbagai lagi aktiviti kewangan dan sebagainya.

ICO (Initial Coin Offering) untuk kriptowang AKoin ini dikatakan akan hadir tidak lama lagi. Buat masa ini, tiada butiran lanjut mengenai AKoin ini dan juga, kecuali untuk beberapa butiran asas mengenai asal-usul AKoin, beberapa ciri-ciri dan juga nama-nama di belakang kriptowang tersebut.


TIPS & ULASAN