Cari @ Amanz

Sokongan papan kekunci dan tetikus untuk konsol Xbox One telah diumumkan lebih setahun yang lalu tetapi sehingga kini tiada tarikh diberikan bila ia akan diaktifkan. Dengan sokongan dua peranti input ini, permainan FPS. MOBA dan RTS pastinya lebih seronok dimainkan pada konsol keluaran Microsoft ini. Menurut laporan Windows Central, Microsoft mungkin sedang bekerjasama dengan Razer bagi menghasilkan papan kekunci serta tetikus untuk Xbox One.

Slaid pembentangan untuk pembangun Xbox One telah tertiris dengan maklumat mengenai sokongan papan kekunci dan tetikus. Papan kekunci Razer Turret dan Blackwidow Chroma V2 dipaparkan di dalam slaid tersebut. Sistem lampu RGB Razer Chroma nampaknya akan disokong apabila dua papan kekunci ini disambungkan ke sebuah Xbox One.

Garis panduan sokongan tetikus juga diberikan. Pembangun perlu menyokong sehingga lima butang pada tetikus bersama dengan pilihan kustomasi setiap butang tersebut. Fungsi roda tatal tetikus juga perlu disokong. Pemain perlu diberikan pilihan untuk mengubah rekaan anak panah tetikus, keterangannya pada skrin dan mengetahui lokasinya sepanjang masa.

Bagi mengelakkan ketidakseimbangan di antara pengguna pengawal permainan dengan dua peranti input ini, pembangun disarankan supaya memberikan pilihan untuk mengasingkan pemain ketika matchmaking. Pemain boleh memilih untuk bermain bersama hanya pengguna papan kekunci dan tetikus ataupun tidak.

Akhir sekali kesemua tetikus yang menggunakan pemandu Windows harus disokong termasuk yang menggunakan dongle infra merah. Walaubagaimanapun tetikus yang memerlukan pemandu custom serta menggunakan Bluetooth tidak akan disokong oleh Xbox One.

Sejauh manakah kesemua fungsi ini akan digunakan pada Xbox One masih belum diketahui. Yang pasti ini antara fitur yang paling lama diminta oleh pemilik Xbox One.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd