Staedtler Menghasilkan Stylus Noris Digital Untuk Chromebook

Staedtler Menghasilkan Stylus Noris Digital Untuk Chromebook

Diterbitkan pada June 26, 2018 oleh .

Dunia sudah banyak berubah sejak kami meninggalkan sekolah. Penggunaan komputer sudah dianggap biasa sedangkan 22 tahun yang lalu ia diharamkan oleh sekolah atas sebab “memastikan kesamarataan di kalangan pelajar”. Penggunaan alat bantuan mengajar secara atas talian juga sudah meluas bersama dengan peranti pintar Chromebook. Bagi meneruskan legasi mereka sebagai alat tulis pilihan di sekolah, Staedtler telah mengeluarkan stylus Noris Digital untuk Chromebook.

Stylus ini menggunakan teknologi ElectroMagnetic Resonance keluaran Wacom untuk berfungsi. Ini bermakna ia tidak perlu dicas untuk berfungsi. Mata stylus turut mengesan tekanan bagi menghasilkan garisan pelbagai ketebalan ketika digunakan. Ia akan dijual bermula bulan hadapan dengan sokongan beberapa aplikasi popular seperti Google Keep, Jamboard, Google Classroom dan Squid. Ia turut ditawarkan dalam empat warna iaitu kuning, merah. hijau dan biru. Ini sebenarnya stylus yang sama dilancarkan sebelum ini untuk Galaxy Note 8.

Sokongan stylus ini dilihat sebagai pesaing kepada Logitech Crayon yang dilancarkan untuk Apple iPad baharu pada bulan Mac lalu. Crayon memerlukan bateri untuk berfungsi. Kedua-duanya adalah alat menulis digital untuk kegunaan di dalam kelas.

Melatih anak kecil menggunakan pena adalah perlu kerana di UK semakin ramai anak-anak kecil menghadapi masalah memegang pensel dengan betul apabila memasuki alam persekolahan akibat menggunakan skrin sesentuh. Ini meninggalkan kesan negatif kerana mereka tidak mampu mengikuti pelajaran di sekolah dengan sempurna.


TIPS & ULASAN