Carian
Western Digital Bakal Membawa Masuk Storan Digital Siri G-Technology Ke Pasaran Malaysia
June 26, 2018 Nazrin

Sewaktu acara pelancaran peranti storan WD My Passport Wireless SSD dan SanDisk Extreme Portable SSD, jurucakap daripada Western Digital turut menyatakan bahawa syarikat tersebut akan membawa masuk peranti storan siri G-Technology ke pasaran tempatan pada bulan Julai atau Ogos kelak.

Berbeza dengan peranti storan WD dan SanDisk yang diperkenalkan, storan siri G-Technology ini bukan sahaja hadir dengan rekaan yang lebih eksklusif dan menawan, ia juga merumahkan teknologi-teknologi storan yang lebih mahal daripada biasa, termasuklah sokongan untuk komponen-komponen seperti SSD PCIe, dan juga sambungan Thunderbolt 3 untuk penghantaran data yang lebih pantas.

Peranti-peranti G-Technology ini termasuklah peranti seperti SSD mudah-alih, storan cakera keras mudah alih dan juga storan rangkaian (Network Attached Storage). Kesemua peranti ini bukan sahaja hadir dengan jumlah penyimpanan data yang besar, mereka juga menyokong sambungan penghantaran data yang cukup pantas, seperti Thunderbolt 3 yang dinyatakan tadi.

Jurucakap Western Digital tersebut juga menyatakan bahawa mereka masih sedang berunding dengan pengedar peralatan komputer untuk memilih peranti yang manakah patut dibawa masuk ke pasaran Malaysia terlebih dahulu.

 

Komen