DARPA Memperlihatkan Enam Teknologi Baru Untuk Kenderaan Tentera Seperti Tayar Yang Boleh Berubah Menjadi Runut

DARPA Memperlihatkan Enam Teknologi Baru Untuk Kenderaan Tentera Seperti Tayar Yang Boleh Berubah Menjadi Runut

Diterbitkan pada June 26, 2018 oleh .

DARPA ialah agensi yang bertanggungjawab ke atas wujudnya rangkaian internet dan GPS yang digunakan secara meluas. Kedua-dua teknologi pada awalnya dibangunkan atas tujuan ketenteraan. Pada hujung minggu lalu, enam teknologi baru untuk kegunaan kenderaan tentera diperlihatkan oleh DARPA. Kesemuanya adalah ciptaan di bawah program Ground X-Vehicle Technology (GXV-T) yang ingin meningkatkan tahap ketahanan kenderaan di medan perang.

Dilema yang dihadapi kenderaan tentera ialah ianya semakin berat kerana senjata (seperti IED dan meriam) anti kenderaan berperisai yang semakin berkuasa. Lebih banyak lapisan perisai diletakkan, kelajuan dan mobiliti kenderaan akan turut berkurangan. GXV-T cuba menghasilkan kenderaan yang lebih lincah di medan perang yang dapat melarikan diri dari musuh.

Teknologi pertama yang dipamerkan ialah tayar Reconfigurable Wheel Track (RWT) yang boleh berubah menjadi runut seperti kereta kebal. Teknologi ini membolehkan kenderaan meredah kawasan yang sukar diakses dengan kenderaan bertayar seperti kawasan salji dan lumpur. Teknologi RWT ini dibangunkan oleh Carnegie Mellon University National Robotics Engineering Center (CMU NREC). Proses perubahan dari tayar ke runut boleh dilakukan dalam masa dua saat tanpa kenderaan perlu berhenti.

Seterusnya ialah Multi-mode Extreme Travel Suspension (METS) yang mengingatkan kami kepada kenderaan dari permainan video. Sistem suspensi boleh laras METS memastikan kenderaan sentiasa stabil walaupun ketika melalui kawasan berbukit bukau. Keempat-empat sistem suspensi yang digunakan memastikan kenderaan sentiasa mendatar. Ini turut membolehkan kenderaan kekal menegak walaupun bergerak pada permukaan jalan yang senget.

Electric In-hub Motor pula ialah meletakkan motor elektrik terus pada hab tayar 20″ yang digunakan pada kenderaan tentera sedia ada. Motor elektrik mempunyai kuasa kilasan (torque) yang tinggi. Kuasa dapat disampaikan kepada roda secara terus. Penggunaan motor elektrik pada kenderaan tentera turut menjadikannya lebih senyap sekaligus sukar dikesan musuh.

Sistem paparan maya juga diperlihatkan menerusi Virtual Perspectives Augmenting Natural Experience (V-PANE) oleh Raytheon. Menerusi sistem kamera dan LIDAR pada kenderaan, pemandangan maya dapat dijana untuk membolehkan pemandu melihat dari pelbagai arah. Mereka boleh memilih memandang dari atas kenderaan (seperti GTA) atau dari sisi untuk mengelak melanggar halangan pada bahagian belakang kenderaan yang berada di titik buta. Ketika demonstrasi dilakukan, sebuah kenderaan rekreasi digunakan dengan kesemua tingkap ditutup. Kenderaan masih boleh dipandu sepenuhnya menerusi sudut pandangan maya.

Sebuah lagi sistem yang turut kelihatan seperti mendapat inspirasi dari permainan video ialah Off-Road Crew Augmentation (ORCA). Ia memaparkan jalan terbaik apabila kenderaan melalui kawasan tidak berturap. Ketika di medan perang ini dapat mengelakkan anggota dari tersesat seperti yang berlaku kepada tentera Amerika Syarikat, Malaysia dan Pakistan di Pertempuran Mogadishu. Sistem ini turut dibangunkan oleh Carnegie Mellon University National Robotics Engineering Center (CMU NREC) yang membangunkan Reconfigurable Wheel Track.

Akhir sekali ialah Enhanced 360-degree Awareness with Virtual Windows yang dibangunkan oleh Honeywell International. Beberapa kamera di luar kenderaan digunakan bagi memberikan pandangan 360 darjah bagi kenderaan yang tidak bertingkap. Pemandu menggunakan kaca mata dengan pandangan tiga dimensi serta tingkap maya menggantikan cermin hadapan.

Kesemua teknologi di bawah projek GXV-T ini masih di peringkat awal tetapi mungkin akan digunakan pada kenderaan awal di masa hadapan. Ia kemudian pastinya akan digunakan pula pada kenderaan awam.


TIPS & ULASAN