WiFi Alliance Memperkenalkan WPA-3 – Kini Lebih Selamat

WiFi Alliance Memperkenalkan WPA-3 – Kini Lebih Selamat

Diterbitkan pada June 26, 2018 oleh .

Teknologi penyulitan penghala WiFi WPA-2 (WiFi Protected Access 2) berumur 14 tahun pada tahun ini, dan digunakan dengan meluas oleh syarikat-syarikat pembuat peranti rangkaian untuk sekian lama.

WiFi Alliance baru-baru ini telah mengumumkan kehadiran protokol penyulitan penghala WiFi WPA-3 (WiFi Protected Access 3), yang dikatakan hadir dengan pelbagai ciri keselamatan baru yang membuatkan peranti-peranti ini mudah digunakan dengan selamat.

Sama seperti WPA-2, sistem WPA-3 ini juga hadir dengan sokongan penyulitan WPA-3 Personal dan juga WPA-3 Enterprise. Kedua-dua mod ini hadir dengan teknologi Simultaneous Authentication of Equals, dimana kata laluan untuk menyambung ke rangkaian WiFi anda boleh menggunakan perkataan biasa tanpa perlu menggunakan gabungan simbol, nombor, huruf besar dan kecil.

Teknologi ini juga menghalang penggodam daripada menggunakan perisian kamus untuk meneka perkataan untuk memasuki rangkaian anda. Menariknya, pengguna biasa hanya perlu memasukkan kata laluan mereka untuk memasuki rangkaian.

WPA-3 Enterprise hadir dengan pelbagai teknologi penyulitan data seperti 256-bit Galois/Counter Mode Protocol (GCMP-256) dan juga mod keselamatan 192-bit yang akan membuatkan protokol WPA-3 ini cukup sukar untuk digodam.

Dengan semua ciri keselamatan yang hadir melalui WPA-3 ini, walaupun penggodam masih dapat memasuki rangkaian tersebut, setiap bit data yang dihantar dan diterima akan disulitkan, dan penggodam tidak boleh mengetahui data apa yang sedang dibacanya, dan ini membuatkan maklumat anda lebih selamat dari sebelum ini.

Menurut Wi-Fi Alliance, sokongan untuk WPA-3 ini sudah boleh dimuat-turun oleh rakan pembina penghala WiFi, dan ia mungkin akan mengambil masa untuk syarikat-syarikat ini untuk mengimplimentasikannya, tetapi semua penghala yang menggunakan protokol keselamatan WPA-2 sebelum ini boleh dikemaskini dengan protokol WPA-3 melalui kemaskini perisian.

Wi-Fi Alliance juga menjanjikan dalam masa beberapa tahun, kesemua penghala WiFi rumah dan pejabat akan menggunakan protokol WPA-3, kerana protokol ini akan menjadi piawaian keselamatan rangkaian baru tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN