Prototaip Papan PCB NVIDIA Dengan GPU Generasi Akan Datang Tertiris – Dilengkapi 12GB GDDR6, Tiga Palam Kuasa 8-pin PCIe

Prototaip Papan PCB NVIDIA Dengan GPU Generasi Akan Datang Tertiris – Dilengkapi 12GB GDDR6, Tiga Palam Kuasa 8-pin PCIe

Diterbitkan pada June 26, 2018 oleh .

Kad grafik NVIDIA GeForce GTX generasi terbaru dikatakan bakal diumumkan pada bulan Ogos kelak, dan terkini, nampaknya papan PCB prototaip yang dikatakan merumahkan GPU terbaru NVIDIA tertiris di laman web Reddit.

Daripada gambar yang diberikan, kad grafik ini dilengkapi dengan beberapa komponen yang cukup menarik. ini termasuklah penggunaan 12GB memori GDDR6 keluaran syarikat pembuat semikonduktor Micron, tiga bicu kuasa 8-pin dan juga empat kipas yang dilihat menyejukkan cip-cip VRM kad ini.

Kad ini juga dikatakan sebuah kad ujian sahaja, kerana ia dilihat menggunakan sambungan NVLink, dan bukannya SLi untuk menggabungkan dua kad grafik untuk penggunaan pelbagai-GPU. Secara amnya, kad grafik siri GTX, selain daripada Titan akan menggunakan sambungan SLi untuk menggabungkan dua GPU untuk kegunaan serentak.

Dalam pada itu, penggunaan tiga bicu kuasa 8-pin berkemungkinan digunakan untuk menguji kebolehan GPU terbaru ini untuk dilewahjam, dan terdapat kemungkinan besar juga kad grafik yang akan hadir di pasaran nanti hanya akan menggunakan dua palam kuasa 8-pin.

Dengan tirisan ini, nampaknya kita tidak perlu menunggu lama untuk kehadiran kad grafik terbaru dari NVIDIA.


TIPS & ULASAN