Cari @ Amanz

Leher Tablet” adalah terma bagi seseorang yang mengalami kesakitan atau kecederaan di bahagian leher akibat menggunakan sebuah tablet terlalu lama. Menurut kajian daripada University of Nevada, kaum wanita dilihat lebih terdedah kepada kecederaan ini berbanding lelaki.

Menurut kajian yang telah dilakukan, sebanyak 77% pengguna wanita mengalami kecederaan ini berbanding 23% pada kaum lelaki. Ini adalah kerana, kaum wanita kebiasaannya mempunyai kekuatan otot leher yang lebih lemah dan saiz badan yang lebih kecil. Cara yang lebih selamat untuk seseorang menggunakan tablet adalah, ketika menggunakannya terdapat sokongan untuk tulang belakang – seperti menyandar pada kerusi dengan postur leher dan kepala yang neutral.

Kecederaan ini berlaku kerana postur ketika menggunakan tablet. Tidak kira sama ada pengguna meletakkan tablet di permukaan yang rata, letak di paha ataupun pegang dengan posisi yang menunduk – kecederaan di bahagian leher tetap akan berlaku. Ini kerana, apabila seseorang memandang tablet ke bawah pada jangka masa yang lama – ia akan menyebabkan tekanan kepada tulang belakang dan secara terus akan menyebabkan kesakitan kepada leher dan juga otot di bahagian bahu.

Turut dilaporkan adalah sebanyak 55% pengguna mempunyai masalah ketidakselesaan, 10% dengan simptom yang teruk dan juga 15% dengan masalah tidak boleh tidur.

Antara cara yang selamat untuk menggunakan tablet adalah dengan duduk bersandar dengan postur leher dan kepala yang lebih neutral, menggunakan aksesori seperti Sospendo, iBed atau juga Lockjaw, mengambil masa seketika untuk berehat ataupun membuat senaman ringkas. Pengguna turut bole cuba mengguna aplikasi daripada Digi – Neck Check, untuk memastikan postur ketika penggunaan sesebuah peranti.

Sumber: Kajian University of Nevada, melalui NY Post.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd