Di acara Acer Global Press Conference di New York pada bulan lalu, Acer memperkenalkan sejumlah komputer desktop dan juga laptop untuk pasaran pengguna, dan diantara model-model yang diperkenalkan ialah desktop gaming Acer Predator Orion 5000 dan 3000, iaitu adik-adik kepada desktop gergasi Acer Predator Orion 9000.
Di acara jerayawara (road show) Acer yang bermula hari ini, Acer Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk desktop Acer Predator Orion 5000 ke pasaran tempatan.
Desktop Orion 5000 ini akan hadir dengan komponen-komponen yang cukup berkuasa, termasuklah CPU Intel Core i7-8700, memori DDR4 sebanyak 16GB yang boleh dinaiktaraf sehingga 64GB, storan SSD M.2 sebanyak 256GB dan juga storan cakera keras sebesar 1TB.
Dari segi pilihan grafik pula, desktop Predator Orion 5000 ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 8G. Rekaan rangka komputer desktop ini membolehkan anda mengubahsuai kebanyakan komponen didalamnya, seperti memori, storan dan juga kad grafik, malah pengguna boleh menambahkan sebuah lagi kad grafik NVIDIA GTX 1070 tanpa sebarang masalah.
Menurut Acer Malaysia, desktop Acer Predator Orion 5000 ini akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Ogos kelak pada harga RM7899.