Cari @ Amanz

Dengan pelaburan pihak Apple dalam mendapatkan hak siri TV dan filem, ramai menjangkakan yang mana Apple bakal menawarkan perkhidmatan langganan video seumpama Netflix atau iFlix. Namun, ia dilihat Apple mempunyai perancangan yang lebih besar dalam penawaran langganan kandungan digital mereka.

Menurut laporan terbaru daripada The Information, ia dikatakan Apple sedang dalam persiapan untuk menawarkan sebuah berkas langganan yang menyatukan penawaran kandungan video, muzik dan juga majalah.

Apple pada hari ini sedia hadir dengan penawaran Apple Music. Pada masa yang sama mereka telah membeli Texture yang memfokuskan penawaran majalah digital, selain pada masa yang sama terus menambah hak untuk siaran video dan filem.

Dengan penawaran satu berkas untuk semua, ia akan memudahkan para pengguna. Selain daripada itu, ia juga secara tidak langsung memberikan kesan terhadap kos langganan kepada pengguna – dan mungkin membuatkan pengguna lebih melanggan perkhidmatan Apple berbanding keperluan melanggan beberapa perkhidmatan berbeza daripada penyedia perkhidmatan berlainan.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Apple akan mengumumkan penawaran langganan kandungan digital mereka ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd