UiTM Menjadi IPTA Malaysia Pertama Melancarkan Satelit Ke Angkasa Lepas – UiTMSAT-1

UiTM Menjadi IPTA Malaysia Pertama Melancarkan Satelit Ke Angkasa Lepas – UiTMSAT-1

Diterbitkan pada June 29, 2018 oleh .

“Satu langkah kecil untuk manusia, satu lompatan gergasi untuk umat manusia”. Ini ialah kata-kata keramat yang diucapkan oleh Neil Armstrong ketika menjejakkan kaki ke permukaan bulan hampir 50 tahun yang lalu. Minat terhadap angkasa lepas agak suram sejak kebelakangan ini kerana sudah lebih sedekad sejak Malaysia menghantar angkasawan yang pertama. Sungguhpun begitu inisiatif untuk menguasai aeroangkasa masih dapat dilihat institut pengajaran tinggi awam negara.

Hari ini UiTM melakar sejarah sebagai IPTA pertama di Malaysia yang berjaya melancarkan satelit ke angkasa lepas. Satelit UiTMSAT-1 dilancarkan dari Cape Canevaral Florida pada jam 5 petang tadi menggunakan roket Falcon 9 yang dikendalikan oleh Space X. Selain satelit dari Malaysia, dua lagi satelit dari Bhutan dan Filipina turut dilancarkan menggunakan roket yang sama.

Satelit nano sebesar 10x10x10 sentimeter ini dihasilkan di bawah projek Joint Global Multi-Nation Birds Satellite (BIRD-2) yang dikelolakan oleh Kyushu Institute of Technology (Kyutech) Jepun. Projek ini menggalakkan perkembangan teknologi aeroangkasa di negara seperti Malaysia yang tidak mempunyai program penerokaan angkasa lepas sendiri. Satelit nano yang juga dikenali sebagai CubeSat ini mengajar asas menghasilkan satelit dan kemudian menghantar maklumat telemetri ke stesen pangkalan di bumi.

Walaupun telah dilancarkan ke angkasa lepas, UiTMSAT-1 hanyalah kargo yang dihantar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) . Ia hanya akan dilancarkan ke orbit bumi rendah (low earth orbit) dari ISS pada bulan Ogos kelak.


TIPS & ULASAN