Cari @ Amanz

Sudah lebih tujuh bulan sejak saya berpindah ke iOS atas sebab kerja. Sungguhpun begitu saya masih bergantung kepada aplikasi Google kerana hampir kesemuanya jauh lebih baik berbanding aplikasi natif Apple. Contoh terbaik ialah aplikasi pemetaan Google Maps yang memberikan lebih banyak maklumat berbanding Apple Maps.

Apple menyedari aplikasi pemetaan mereka ini di belakang Google Maps dan juga Waze. Di dalam sebuah temuramah dengan TechCrunch, Eddy Cue yang merupakan SVP Apple mengesahkan pihak mereka sedang membina semula Apple Maps menggunakan data yang dikumpul sendiri.

Sebelum ini mereka bergantung kepada data dari TomTom dan OpenStreetMaps tetapi didapati tidak memuaskan. Sejak 2015 Apple telah mula memulakan proses pemetaan di California terlebih dahulu dengan menggunakan van yang dilengkapi pelbagai sensor. Apa yang dilalukan oleh Apple ini sama seperti yang dilakukan oleh Google tetapi selain gambar dua dimensi, “Apple Van” ini turut merakam persekitaran secara 3D menggunakan LIDAR bagi menyokong sistem VR serta AR di masa hadapan. Data dari pengguna juga dikumpul tetapi telah diawanamakan bagi mengelakkan ia disalahguna. Ini bagi memudahkan proses mengetahui lokasi perniagaan, parkir dan sebagainya.

Lebih menarik sekali Apple Maps baharu akan memaparkan papan tanda jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang sama seperti di dunia sebenar. Mereka membayar lesen menggunakan reka taip Helvetica untuk menghasilkan kesemua papan tanda stesen kereta api bawah tanah di New York. Papan tanda di lebuh raya di dalam peta juga disusun seperti yang akan dilihat di dunia sebenar. Dengan paparan papan tanda yang sama di dalam Maps, kebarangkalian pengguna tersilap mengambil jalan dapat dikurangkan.

Penambahbaikan ini nampaknya akan tertumpu di Amerika Syarikat sahaja buat masa ini. Bagi pengguna di Malaysia, proses menjadikan Apple Maps aplikasi pemetaan yang boleh diandalkan akan mengambil sedikit masa sehingga kini tiada laporan Apple Van di negara kita.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd