Cabaran pengajar di kurun ke-21 ialah menggunakan teknologi bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan. Pada waktu yang sama kerajaan harus memastikan dalam mengejar teknik pembelajaran terkini, pelajar di luar bandar tidak keciciran seperti pelajar di kota-kota utama. Kementerian Pendidikan Malaysia kini sedang mengkaji semula penggunaan peranti elektronik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolah seluruh negara.
Mentari Pendidikan Dr Maszlee Malik dipetik mengatakan kajian penggunaan peranti di sekolah dikaji semula bagi memastikan ia mendatangkan manfaat kepada pelajar dan bukannya pada vendor peranti dan kontraktor yang menghasilkan perisian seperti yang berlaku pada pentadbiran dahulu.
Pada waktu yang sama faktor keselamatan data pelajar serta prasarana teknologi yang ada juga akan diambil kira dalam proses kajian semula ini. Umum diketahui hanya beberapa minggu yang lalu portal Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup selepas berlaku kebocoran maklumat. Pembekal rangkai internet di sekolah pula didapati gagal memberikan kelajuan internet yang dijanjikan dalam beberapa laporan audit negara sebelum ini.
Pada April tahun lalu. Kementerian Pendidikan telah mempertimbangkan membenarkan pengguna peranti pintar di dalam kelas. Penggunaan adalah dihadkan sebagai alat bantuan pengajaran di dalam kelas sahaja. Peranti pintar ini akan meliputi peranti seperti komputer riba, tablet dan juga telefon bimbit.
Apakah pula pendapat pembaca Amanz yang terdiri dari kalangan ibu bapa dengan anak di sekolah ataupun dari kalangan guru. Adakah penggunaan peranti di dalam kelas wajar?