Cari @ Amanz

Sistem teksi swapandu sudah mula diuji di Singapura. Dalam hanya satu generasi kemampuan pemanduan sendiri sudah meningkat berlipat ganda. Kemampuan pemanduan automatik ini hanya mula digunakan pada industri maritim bagi menghasilkan kapal swalayar. Di Norway, ia sedang diuji pada feri pembawa penumpang di Trondheim.

Autoferry ialah feri berkuasa elektrik swalayar yang mampu membawa sehingga 12 pejalan kaki dan penunggang basikal. Dengan menggunakan Autoferry, pengguna boleh menyeberangi sebuah terusan selebar 100 meter dalam masa seminit. Pada waktu ini pejalan kaki perlu berjalan selama 15 minit untuk mencari jambatan berhampiran untuk menyeberangi terusan yang sama.

Penggunaan feri ini ialah alternatif lebih murah berbanding membina sebuah jambatan baru yang turut akan menghalang pergerakan kapal yang menggunakan terusan. Setiap kali Autoferry tiba di dermaga, baterinya akan dicas bagi membolehkannya beroperasi sepanjang masa tanpa henti. Semasa beroperasi sistem GPS, radar, kamera optikal, kamera infra merah dan LiDAR digunakan bagi memastikan ia belayar dengan selamat. Sekiranya ujian dilepasi dengan jayanya, Autoferry akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2019.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd