Sebelum ini, Telekom Malaysia mengumumkan akan berkongsi tentang inisiatif jalur-lebar mereka selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia mengumumkan harga perkhidmatan harus dikurangkan sehingga 25% pada penghujung tahun ini. Di dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia sebentar tadi TM mengumumkan pengurangan harga pakej-pakej yang ditawarkan.
Pertama sekali pelan Unifi 30Mbps akan ditawarkan pada harga bawah RM100 berbanding RM 179 sekarang. Ini adalah potongan sebanyak 40%. Ia kini diklasifikasikan sebagai pelan jalur-lebar kelas permulaan untuk golongan isi rumah B40. Pra-tempah untuk pelan baru ini walau bagaimanapun hanya akan dibuka pada 15 Julai hadapan.
Pada waktu yang sama pelan Unifi Turbo akan ditawarkan bermula 15 Ogos hadapan bagi pelanggan pelan sedia ada dengan kelajuan yang digandakan lebih dari dua kali ganda. Ini bermakna pelanggan sedia ada akan menerima penaiktarafan kelajuan dari pelan sedia ada secara automatik. Bayaran langganan bulanan untuk Unifi Turbo ini adalah RM199 sebulan. Kelajuan sebenar yang ditawarkan menerusi pelan ini masih belum diumumkan tetapi TM mensasarkan ianya antara yang terpantas di Asia Tenggara.
Pelan naik taraf turut akan diberikan kepada pengguna pra-Unifi (Streamyx) serta mengembalikan semula pakej tanpa had Unifi Mobile bagi pelanggan sedia ada.
Pihak Telekom Malaysia akan berkongsi maklumat lebih terperinci mengenai pelan-pelan yang diumumkan hari ini pada acara khas yang akan diadakan pada 12 Julai kelak.