Carian
Menteri Mahu Telekom Malaysia Menawarkan Perkhidmatan Bertaraf Dunia
July 5, 2018 Effi Saharudin

Menteri Komunikasi Dan Multimedia Gobind Singh Deo baru memegang jawatan selama 44 hari tetapi impak beliau sudah dapat dirasakan. TM telah mengumumkan pelan baru Unifi beberapa hari yang lalu selepas beliau menyasarkan penawaran internet lebih pantas pada harga lebih mampu milik.

Terkini menerusi akaun Twitter beliau mahu mengingatkan ahli kabinet supaya lebih aktif di atas-talian. Ini adalah jawapan kepada kicauan yang dihantar oleh pengguna @pak51271585 yang menyedari ramai ahli kabinet kurang dikenali latar belakang dan  tidak aktif di atas-talian. Dengan penggunaan media sosial yang semakin meningkat, menteri kabinet juga harus aktif menggunakan platform sedia bagi memudahkan interaksi dengan rakyat marhaen.

Beliau turut menggunakan akaun Twitter beliau untuk menekankan bahwa kualiti perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan TM mesti pada tahap tinggi dan setanding dengan perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat lain di seluruh dunia.

Seperti kami laporkan pada Isnin yang lalu, TM akan menawarkan pelan baru Unifi Turbo dengan kepantasan melebihi dua kali ganda dari apa yang ditawarkan sedia ada. Ini menurut TM akan meletakkan Malaysia sebagai antara negara dengan kelajuan internet terpantas di Asia Tenggara.

Komen