Cari @ Amanz

Dunia bergerak dengan pantas dan peranti yang dibeli hari ini akan menjadi ketinggalan zaman sebaik sahaja model baharu diperkenalkan. Secara purata rakyat Malaysia menukar peranti setiap 15 bulan. Tetapi ramai juga yang masih berkeras menggunakan peranti lama kerana merasakan selagi ia berfungsi tiada keperluan untuk membeli yang baru. Apple MacBook Pro 15″ pertama dengan skrin retina yang dilancarkan pada tahun 2012 kini telah disenaraikan sebagai peranti vintaj (vintage) di laman sokongan Apple.

Di Apple kategori vintaj ialah peranti yang dihentikan pengeluaran lima tahun yang lalu tetapi berusia di bawah tujuh tahun. Apabila kerosakan berlaku Apple akan menerima peranti tetapi tidak wajib untuk memberikan perkhidmatan baik pulih perkakasan atau alat ganti. Bagi pemilik MacBook Pro 2012 12-inci dengan skrin retina pula, komputer riba anda akan dikategorikan sebagai vintaj pada bulan Oktober hadapan.

Untuk peranti yang berusia lebih tujuh tahun pula, ia diberikan kategori usang (Obsolete). Apabila dimasukkan ke dalam senarai ini, ia tidak lagi akan menerima sebarang sokongan dari Apple. Sekiranya berlaku kerosakan, pemilik terpaksa membaikinya dari pihak ketiga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd