Cari @ Amanz

Uber menjual operasi  Asia Tengggara mereka kepada Grab pada bulan Mac yang lalu selepas beberapa kali menyangkal dakwaan ia akan berlaku. Ini sekaligus memberikan Grab monopoli pasaran tempahan pengangkutan menggunakan aplikasi di beberapa negara di rantau ini. Pengambil alihan operasi ini telah disiasat Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Singapura (CCCS) dan semalam kedua-dua syarikat telah didenda.

Denda dikenakan kerana penggabungan dilakukan walaupun ia  menyebabkan kekurangan persaingan di pasaran yang boleh mendatangkan impak kepada pengguna. Nilai denda hanya akan ditetapkan selepas CCCS menerima pernyataan dari kedua-dua pihak.

CCCS turut menyarankan supaya perjanjian eksklusif yang memerlukan pemandu yang hanya menggunakan Grab dibatalkan. Perjanjian dengan syarikat yang sama turut disarankan supaya dihentikan. Pada waktu yang sama algoritma penentuan harga serta komisen yang diberikan kepada pemandu dikekalkan sehingga wujud semula persaingan di pasaran.

Maklum balas dan cadangan dari orang ramai dialu-alukan oleh CCCS bagi menyelesaikan situasi ini. Sekiranya kesemua saranan yang diberikan tidak berjaya menangani kebimbangan pengguna mengenai tiada persaingan, pihak CCCS mungkin akan mengarahkan pengambil alihan operasi dibatalkan. Pihak Grab apabila dihubungi berkata mereka akan mengambil langkah merayu terhadap keputusan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd