Cari @ Amanz

Desas-desus mengenai kehadiran kad grafik terbaru daripada NVIDIA nampaknya semakin hangat. Minggu lalu kemi melaporkan bahawa PCB prototaip kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1180 tertiris di arena internet, dan pada kali ini, nampaknya kita akan dapat melihat sedikit butiran mengenai kad grafik yang bakal hadir untuk rekaan laptop pula.

Baru-baru ini, laman web ulasan komputer mudah-alih Laptopmedia telah mengulas mengenai laptop gaming terbaru daripada Lenovo, iaitu Lenovo Legion Y530, yang dikatakan hadir dengan CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake-S dan juga pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 dan 1050Ti.

Menariknya, laman web tersebut juga menyatakan dan telah mengesahkan dengan pihak Lenovo bahawa laptop tersebut juga bakal hadir dengan kad grafik NVIDIA generasi akan datang, yang dinamakan NVIDIA GeForce GTX 1160.

Laptopmedia juga sempat mengesahkan satu butiran khusus mengenai kad grafik ini; iaitu ia akan hadir dengan memori VRAM sebanyak 6GB. Buat masa ini masih tiada pengesahan sama ada ia menggunakan memori GDDR6, HBM 2.0 ataupun memori lain.

Akan tetapi, jika tirisan kad prototaip GTX 1180 sebelum ini boleh dipercayai, terdapat kemungkinan besar bahawa ia akan menggunakan memori GDDR6.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd