Apple Mungkin Tidak Akan Menggunakan Cip 5G Intel Untuk iPhone Model Tahun 2020

Apple Mungkin Tidak Akan Menggunakan Cip 5G Intel Untuk iPhone Model Tahun 2020

Diterbitkan pada July 6, 2018 oleh .

Teknologi internet mudah alih 5G bakal menggantikan 4G sebagai sambungan internet terpilih untuk peranti-peranti mudah-alih dalam masa beberapa tahun lagi, dan Apple nampaknya sedang bersedia untuk masa tersebut, dan telahpun berkata bahawa mereka akan hadir dengan peranti iPhone dengan sokongan 5G pada tahun 2020 kelak.

Intel dikatakan syarikat yang dipilih untuk membina cip 5G yang dinamakan Sunny Peak ini untuk Apple, dan dikatakan sedang menyelidik proses-proses tertentu untuk menjadi pembina nombor satu cip 5G untuk Apple.

Baru-baru ini, melalui emel dalaman di Intel, Apple dikatakan tidak akan menggunakan cip 5G dari syarikat tersebut, dan ini merupakan satu masalah yang cukup besar kepada Intel kerana penyelidikan cip Sunny Peak ini adalah khusus untuk penggunaan dengan peranti-peranti Apple.

Cip Sunny Peak ini cukup menarik dan berkuasa kerana ia merupakan sebuah cip yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menyambung peranti mudah alih ke rangkaian 5G, ia juga mampu menyokong teknologi nirwayar lain seperti Bluetooth dan juga WiFi di dalam satu komponen kecil.

Laporan Calcalis juga menyatakan oleh kerana ini, Intel telah menutup semua penyelidikan mengenai cip 5G tersebut kerana tiada syarikat lain yang cukup besar untuk memesan cip 5G ini secara pukal seperti Apple.

Buat masa ini, kedua-dua pihak Apple dan Intel masih belum memberikan sebarang kata rasmi mengapakah kerjasama ini dibatalkan. Apple masih dikatakan mahu membina peranti yang hadir dengan sokongan 5G pada tahun 2020 kelak, jadi mungkin mereka akan membuat satu pengumuman baru tidak lama lagi.

 


TIPS & ULASAN