Cari @ Amanz

CPU AMD Ryzen generasi kedua nampaknya bakal memperlihatkan beberapa model-model baru seperti Threadripper generasi kedua. CPU berkuasa mutlak tersebut dikatakan akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan lagi untuk pembina PC berkuasa tinggi.

Dalam pada itu, beberapa butiran menarik nampaknya tertiris mengenai CPU berkuasa rendah Ryzen generasi kedua, dan dua daripada model CPU ini telahpun tertiris ke arena web.

Kedua-dua CPU ini dinamakan AMD Ryzen 7 2700E dan AMD Ryzen 5 2600E dan mereka mempunyai beberapa spesifikasi yang cukup menarik. CPU Ryzen 7 2700E dikatakan hadir dengan lapan teras fizikal, manakala Ryzen 5 2600E pula mempunyai enam teras fizikal.

Laporan daripada WCCF Tech menunjukkan bahawa CPU Ryzen 7 2700E mempunyai 8 teras dan 16 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 2.8GHz, manakala CPU Ryzen 5 2600E hadir dengan 6 teras dan 12 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 3.1GHz.

Apa yang menarik di sini ialah kedua-dua CPU ini boleh dilihat sebagai pengganti berkuasa rendah untuk CPU-CPU Ryzen 7 2700X dan Ryzen 5 2600X. Kedua-dua CPU siri X tersebut hadir dengan penggunaan kuasa 95W hingga 105W, tetapi model siri E hanya menggunakan 45W sahaja.

Buat masa ini, pihak AMD masih belum mengesahkan lagi bilakah CPU siri E ini, mahupun siri CPU Ryzen berkuasa rendah ini akan hadir ke pasaran, tetapi barangkali ia akan hadir tidak lama lagi kerana terdapat juga desas-desus bahawa rakan pembina papan induk AMD akan memperkenalkan papan induk siri B450 tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd