Microsoft Surface Go Dilancarkan Dengan Skrin 10-inci Dan Harga Lebih Mampu Milik

Microsoft Surface Go Dilancarkan Dengan Skrin 10-inci Dan Harga Lebih Mampu Milik

Diterbitkan pada July 10, 2018 oleh .

Seperti kami laporkan semalam, Microsoft memperacahkan pelancaran model terbaru Surface dan pagi ini Microsoft Surface Go telah dilancarkan secara rasmi. Ia sebuah komputer Windows 10 dengan skrin 10 inci PixelSense Display dengan nisbah 3:2 dan harga jualan bermula dari $399 (~RM 1600) sebuah pada bulan Ogos.

Dari segi spesifikasi pemproses Intel Pentium Gold 4415Y dipadankan dengan memori sebesar 4/8GB RAM dan storan 64/128GB SSD. Pemproses dua teras dari generasi ke-tujuh Intel ini hanya memerlukan sistem penyejukan pasif dan kurang menggunakan tenaga. Menurut Microsoft ini memberikan Surface Go penggunaan bateri sehingga 9 jam.

Dari segi rekaan tablet ini mempunyai bucu yang dibulatkan dan akhirnya dilengkapi port USB-C. Masih terdapat sokongan skrin sesentuh serta stylus Surface Pen. Aksesori standard seperti papan kekunci Signature Type Cover turut disokong. Kerana saiznya yang lebih kecil, Surface Go hanya seberat sekitar 530 gram dengan ketebalan maksimum 8.1 mm.

Tongkat terbina pada panel belakangnya pula boleh dibuka sehingga sudut 165 darjah bagi memudahkan pengguna melaras sudut menaip. Sekali lagi terdapat sokongan sistem nyahkunci menggunakan wajah menerusi sistem Windows Hello.

Surface Go ialah jawapan Microsoft kepada iPad Pro yang mendominasi pasaran tablet buat masa. Dengan harga yang lebih mampu milik berbanding model Surface terdahulu, ia mensasarkan pengguna tablet yang tidak memerlukan komputer yang berkuasa tetapi masih mempunyai sokongan sistem operasi Windows.

Pra-tempahan untuk Microsoft Surface Go di Malaysia akan dibuka pada 2 Ogos 2018. Kami akan mengemaskini laporan ini dengan harga jualan rasmi tempatan apabila menerimanya kelak.


TIPS & ULASAN