Cari @ Amanz

Pada awal bulan ini Uganda mula mengenakan caj UGX 200 (RM 0.21 sen) sehari kepada pengguna yang ingin melayari laman media sosial. Sebab yang diberikan ialah ini bagi menghalang penyebaran berita palsu. “Cukai media sosial” ini menerima reaksi negatif dari rakyat Uganda yang melihatnya sebagai taktik menghalang rakyat bersuara menentang kepimpinan Presiden Yoweri Museveni.

Jika pengguna tidak membayar caj ini, akses kepada perkhidmatan popular seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Facetime, Snapchat dan Instagram akan dihalang oleh pihak ISP. Sebagai tanda protes, rakyat Uganda mula menggunakan VPN bagi memintas halangan yang dilakukan.

Menyedari hakikat ini, kerajaan Uganda mengarahkan perkhidmatan VPN pula dihalang akses di negara tersebut. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan VPN di dunia, tidak kesemuanya dapat dihalang buat masa ini. Kerajaan Uganda kemudian mengingatkan pengguna internet supaya membayar cukai internet ini kepada kerajaan dan bukannya kepada syarikat VPN.

Uganda bukan negara pertama penghalang perkhidmatan VPN. Tahun lalu aplikasi VPN telah ditarik dari App Store di China atas arahan pihak pemerintah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd