Cari @ Amanz

Satu masalah yang sering dilihat pada kamera peranti kelas pertengahan ialah kualiti gambar yang kurang baik di dalam situasi pencahayaan rendah. Masalah noise amat ketara sekali dan sekaligus mengurangkan kualiti gambar yang diambil. NVIDIA dengan kerjasama MIT dan Aalto University telah membangunkan sebuah kecerdasan buatan yang menghilangkan noise dan teks dari gambar secara automatik.

Kecerdasan buatan Noise2Noise ini dilatih untuk melihat 50,000 sampel gambar. Melalui pembelajaran mesin, ia kemudian mampu mengurangkan noise pada setiap input gambar yang diberikan. Pembuangan noise ini bukan sahaja dapat mencantikkan gambar yang diambil dalam situasi pencahayaan rendah tetapi mempunyai aplikasi dalam bidang perubatan. Gambar yang diambil oleh mesin MRI mempunyai masalah noise. Jika kecerdasan Noise2Noise digunakan, imej MRI yang lebih jelas boleh diambil bagi memudahkan proses diagnosis pesakit.

Gambar yang dengan sengaja diconteng dengan teks juga dapat dipulihkan dalam masa beberapa mili saat oleh kecerdasan ini. Secara teorinya kesan watermark pada gambar dapat juga dihilangkan menggunakannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd