Cari @ Amanz

Diantara perisian terbina di dalam sistem operasi Windows, perisian Notepad merupakan salah satu diantara perisian yang cukup jarang sekali menerima kemaskini daripada syarikat tersebut.

Semua itu bakal berubah kerana pihak Microsoft bakal mengumumkan bahawa Notepad akan menerima kemaskini yang membolehkannya melakukan beberapa aksi-aksi baru. Menurut jurucakap Microsoft, perisian Notepad akan menerima dua kemaskini utama, iaitu untuk ciri carian dan penggantian teks, dan juga kebolehan untuk zoom ke dalam teks untuk membuatkannya lebih mudah untuk dibaca.

Ciri pencarian dan penggantian teks ialah sebuah ciri yang sudahpun hadir pada perisian Notepad, dan ia nampaknya akan diberikan ciri baru wrap-around. Ciri ini akan membolehkan pengguna untuk mencari perkataan daripada bahagian atas semula, walaupun anda sudahpun sampai ke bahagian bawah sekali dokumen.

Ciri carian teks baru ini bukan sahaja akan mengingati perkataan terakhir yang anda masukkan ke dalam menu carian, tetapi juga akan memasukkan perkataan yang anda pilih secara automatik jika anda menggunakan ciri tersebut.

Ciri Zoom pula membolehkan anda membesarkan teks di dalam perisian Notepad dengan menggunakan kombinasi kekunci Ctrl+Plus ataupun Minus, dan juga gabungan Ctrl dan tatalan roda tetikus untuk memudahkan anda membaca teks tanpa perlu mengubah saiz aksara secara manual.

Jurucakap Microsoft menyatakan lagi bahawa kemaskini ini sudahpun hadir melalui kemaskini Build 17713 yang boleh dimuat turun oleh para pengguna Windows Insider Fast Ring. Kemaskini tersebut juga hadir dengan beberapa penambahbaikan kepada perisian-perisian lain, termasuklah Windows Ink, Microsoft Edge, Edge PDF Reader dan sebagainya.

Pihak Microsoft menyatakan lagi bahawa penambahbaikan Notepad ini, termasuklah yang lain-lain akan hadir melalui kemaskini Redstone 5 yang boleh dimuat turun di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd