Beberapa syarikat teknologi menghargai pekerja mereka dengan menyediakan persekitaran pejabat atau kampus yang selesa – sekaligus membuatkan para pekerja mereka lebih selesa menghabiskan masa di pejabat, serta membangunkan pelbagai produk baru dengan lebih pantas.
Sebelum ini, kita secara ringkas telah dapat melihat kampus Apple yang berbentuk kapal angkasa. Selain Apple, pihak Huawei turut sedang dalam proses pembangunan kampus mereka tersendiri, dan secara kasar ia kelihatan sebagai sebuah taman tema yang besar dan mengambil inpirasi pelbagai bangunan bersejarah dari Eropah.
Terletak di Shenzhen, ia dipanggil sebagai Ox Horn Campus. Kampus ini mengambil tema bangunan bersejarah sekitar Eropah, malah setiap blok dinamakan dengan nama bandar di Eropah – seperti Paris, Oxford, Verona, dan sebagainya.
Kampus ini masih dalam proses pembangunan, dan meliputi kawasan seluas 1.4 juta meter persegi. Sebanyak 108 bangunan akan dibina, dimana ia akan membolehkan seramai 25,000 pekerja Huawei bekerja di sana.
Huawei mengatakan kampus baru ini telah mula dibangunkan sejak September 2014 yang lepas, dimana ia memakan belanja sekitar RMB 10 bilion (~RM6 bilion).