Garena Bakal Melancarkan Permua Contra:Return Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Garena Bakal Melancarkan Permua Contra:Return Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada July 16, 2018 oleh .

Garena merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam penawaran pelbagai permua (permainan mudah-alih) menarik. Sebelum ini, mereka telah menawarkan Arena of Valor dan juga Free Fire – dimana kedua-duanya mempunyai angka pemain yang tinggi.

Terkini, Garena turut mengumumkan yang mana mereka akan menawarkan permua Contra : Return! di Malaysia tidak lama lagi.

Untuk makluman, Contra merupakan salah satu permainan klasik yang menawarkan bentuk permainan tembak-menembak tatalan-tepi. Selepas berusia sekitar 30-tahun, permainan klasik berkenaan diberikan nafas baru oleh Konami dan juga Tencent. Ia juga telah ditawarkan dalam versi bahasa Cina di China sebelum ini.

Garena bakal memperkenalkan permua ini dalam variasi bahasa Inggeris, selain turut menyediakan pelayan khusus untuk rantau ini.

Permua ini bakal memperkenalkan sejumlah mod permainan – termasuk mod permainan Duo, Multiplayer, dan juga PvP. Dengan pengenalan mod PvP, ia sekaligus turut membawa permua ini ke arena e-sukan, sekaligus membolehkan pemain bersaing antara satu sama lain.

Buat masa ini, Garena tidak mengumumkan sebarang tarikh pelancaran permua Contra:Return! ini. Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenainya dalam minggu-minggu akan datang.


TIPS & ULASAN