Selepas Microsoft menghentikan pengeluaran telefon Windows 10 Mobile, ramai peminat tegar sistem operasi ini kecewa dengan keputusan mereka. Beberapa tahun sebelum ini berlaku, kedengaran ura-ura sebuah Surface Phone akan dihasilkan. Ini diharap akan menjadi phoenix yang membangkitkan semula Windows 10 Mobile dari abu. Beberapa paten dan ura-ura kedengaran semula tahun ini mengenai pelancaran Surface Phone.
Panos Panay yang merupakan ketua kepada bahagian Surface di Microsoft walau bagaimanapun telah menegaskan bahawa telefon pintar ini tiada dalam perancangan mereka di dalam podcast dengan Wired. Menurut beliau lagi Surface akan menjadi peranti yang menumpukan kepada telekomunikasi tetapi tidak secara tradisional kerana cara kita berkomunikasi telah banyak berubah.
Besar kemungkinan Surface Phone kelak hanyalah sebuah komputer Windows yang menggunakan pemproses Snapdragon lengkap dengan kemampuan telefoni. Memandangkan peranti pintar kini jarang digunakan untuk melakukan panggilan telefon, maka terma “Surface Phone” tidak lagi sesuai digunakan.