Samsung Memperkenalkan Memori LPDDR5 8Gb Pertama – Direka Khusus Untuk Industri 5G Dan Aplikasi Kecerdasan Buatan

Samsung Memperkenalkan Memori LPDDR5 8Gb Pertama – Direka Khusus Untuk Industri 5G Dan Aplikasi Kecerdasan Buatan

Diterbitkan pada July 17, 2018 oleh .

Industri pembinaan cip memori ialah sebuah industri yang cukup penting kerana semua peranti yang dibina hari ini, terutamanya komputer dan juga peranti-peranti pintar memerlukan memori ini untuk memastikan aplikasi boleh menyimpan, menerima dan menghantar data dengan pantas.

Baru-baru ini Samsung dilihat memperkenalkan cip memori LPDDR5 (Low Power DDR5) dengan jumlah storan 8Gb (gigabit) yang merupakan lanjutan berkuasa rendah kepada memori DDR5 16Gb yang dihasilkan oleh Samsung tidak lama dahulu.

Cip LPDDR5 ini dibina khusus untuk tujuan sokongan komunikasi 5G dan juga aplikasi kecerdasan buatan mudah alih, dan menggunakan sedikit sahaja tenaga elektrik berbanding dengan memori DDR5 bersaiz penuh.

Dari segi kebolehan penghantaran data, cip memori LPDDR5 ini mampu menghantar data selaju 6,400Mbps, dan 1.5 kali ganda lebih laju daripada memori LPDDR4X yang digunakan oleh kebanyakan peranti utama yang berada di pasaran sekarang.

Samsung menyatakan bahawa kadar penghantaran data cip memori ini membolehkan pengguna menghantar sebuah fail bersaiz 51.2GB dalam masa sesaat sahaja. Memori LPDDR5 ini juga akan hadir dengan dua pilihan kadar penghantaran data berbeza, iaitu 6400Mbps yang menggunakan kuasa sebanyak 1.1V, dan 5,500Mbps yang menggunakan 1.05V.

Untuk memaksimakan penjimatan tenaga, Samsung juga memuatkan beberapa ciri menarik kepada cip memori ini, termasuklah penggunaan kuasa yang berkadar terus dengan proses yang dijalankan, dan juga sokongan ciri “Deep Sleep”, dimana penggunaan kuasanya adalah separuh daripada mod rehat yang digunakan pada cip memori DDR4X.

Buat masa ini, pihak Samsung masih belum mengumumkan bilakah cip memori ini akan hadir pada peranti-peranti pintar, tetapi mereka telahpun menyiapkan sebuah perkakasan memori bersaiz 8GB yang menggabungkan lapan cip memori LPDDR5 ini, dan akan mengujinya pada pelbagai perkakasan tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN