Kilang Pembuatan Cakera Keras Western Digital Di Petaling Jaya Bakal Ditutup Pada Penghujung Tahun 2019

Kilang Pembuatan Cakera Keras Western Digital Di Petaling Jaya Bakal Ditutup Pada Penghujung Tahun 2019

Diterbitkan pada July 18, 2018 oleh .

Jika anda sering melalui lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), anda pastinya tahu bahawa Western Digital, sebuah syarikat yang terkenal dengan peralatan storan digital mereka mempunyai sebuah kilang di sebelah lebuhraya tersebut, yang terletak berhampiran dengan Kelana Jaya.

Sebuah laporan daripada The Register menyatakan bahawa Western Digital bakal menutup kilang tersebut menjelang penghujung 2019. Kilang tersebut, yang bertapak di Petaling Jaya sejak 1973, bertanggungjawab untuk membina cakera keras untuk pasaran dunia, bersama-sama dengan kilang-kilang lain di Thailand, termasuklah di Bang Pa-In dan Prachinburi.

Sebab yang diberikan untuk menutup kilang pembuatan cakera keras mereka di Petaling Jaya ialah kerana permintaan untuk cakera keras yang semakin berkurangan daripada sektor pengguna dan juga industri-industri yang kini sedang bergerak kearah penggunaan SSD (Solid State Drive) yang berkapasiti tinggi.

Dari kini hingga penghujung tahun 2019, masih terdapat banyak masa lagi untuk para pekerja di kilang tersebut untuk mendapatkan pekerjaan baru, tetapi Western Digital berkata mereka akan membuat beberapa pengumuman untuk membantu pekerja-pekerja mereka mencari kerja baru, seperti memperkenalkan pakej pemutusan, dan juga kursus kemahiran semula untuk membolehkan mereka terus kekal kompetitif di tempat kerja baru mereka.

Dalam pada itu, Western Digital juga menyatakan hasrat untuk menaik-tarafkan kilang SSD mereka di Pulau Pinang untuk meningkatkan pengeluaran produk SSD mereka. Mereka dikatakan sedang berada dalam proses untuk membuka kilang pengeluaran SSD kedua mereka, yang akan mula beroperasi dalam masa beberapa bulan akan datang.


TIPS & ULASAN