Carian
Kemaskini Kod Mikro Untuk Papan Induk Intel Siri Z370 Memberi Sokongan CPU 8 Teras Dan Memperbaiki Kerentanan Spectre
July 18, 2018 Nazrin

Intel dilihat bakal mengumumkan kehadiran CPU dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa siri Coffee Lake-S, bersama-sama dengan papan induk siri Z390 yang merupakan penaiktarafan kepada papan induk Z370 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Intel juga baru-baru ini telah hadir dengan kemaskini BIOS untuk papan-papan induk Z370, dimana mereka akan diberi sokongan untuk CPU 8 teras ini apabila ia dilancarkan kelak. Ini bermakna bahawa jika anda sudah mempunyai komputer yang menggunakan papan induk Intel Z370, anda tidak perlu membeli papan induk baru untuk menggunakan CPU berkuasa tinggi tersebut,

Untuk menyokong CPU tersebut, papan-papan induk ini haruslah menggunakan kod mikro versi 06EC, dan pada masa ini, pelbagai pembina papan induk seperti ASUS, ASRock, Gigabyte, MSI dan sebagainya sudahpun mengeluarkan kemaskini BIOS beta dengan kod mikro tersebut. Kemaskini tersebut juga dikatakan memperbaiki beberapa kerentanan Spectre yang hadir pada CPU-CPU Intel.

Buat masa ini, hanya papan induk siri Intel Z370 yang akan hadir dengan CPU lapan teras ini kerana ia satu-satunya papan induk didalam siri tersebut yang mampu memberikan sumber kuasa yang cukup tinggi untuk menggerakkan CPU tersebut.

Intel masih belum mengumumkan lagi bilakah CPU lapan teras ini dan juga papan induk siri Z390 akan hadir di pasaran, tetapi terdapat kebarangkalian bahawa ia akan hadir pada suku ketiga tahun ini.

Komen