Cari @ Amanz

Huawei hari ini telah memperkenalkan kemaskini untuk telefon pintar Nova 2i mereka, iaitu Huawei Nova 3i. Melalui telefon pintar terbaru ini, ia mengekalkan penawaran memfokuskan swafoto, tetapi dengan spesifikasi terkini serta rekaan yang mengikut trend terkini.

Huawei Nova 3i hadir dengan skrin bertakuk 6.3-inci dengan nisbah skrin 19.5:9. Ia menawarkan nisbah skrin ke badan mencapai 81% berbanding hanya 76% pada Nova 2i sebelum ini. Huawei turut menggunakan rekaan yang mengabungkan dua warna – lebih kurang seperti pada Huawei P20.

Huawei Nova 3i

Menariknya, telefon pintar ini juga adalah yang pertama hadir dengan cip Kirin 710 yang terkini. Kirin 710 hadir dengan rekaan 12-nanometer, dan dikatakan menawarkan prestasi lebih kurang sama seperti Snapdragon 660.

Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah memori 4GB RAM, storan 128GB, dan bateri 3340mAh yang dicas menggunakan slot mikro-USB.

Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan sokongan dwi-kamera hadapan gabungan 24-megapixel dan 2-megapixel, selain dwi-kamera belakang 16MP +2MP. Huawei menyertakan sokongan kecerdasan buatan pada bahagian kamera, selain turut menyertakan sokongan Qmoji yang membolehkan pengguna menghasilkan animasi menggunakan watak-watak yang disertakan.

Huawei juga turut menyertakan sokongan GPU Turbo untuk telefon pintar ini, sekaligus menawarkan prestasi lebih tambahan lebih 60% ketika memainkan permainan PUBG Mobile dan juga Mobile Legends.

Pihak Huawei Malaysia bakal melancarkan telefon pintar ini secara rasminya di Malaysia esok, dimana kita akan mendengar lanjut mengenai harga jualannya kelak.

Huawei Nova 3i

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd