Cari @ Amanz

Desas-desus mengatakan Samsung bakal hadir dengan telefon boleh-lipat bukan sesuatu yang baru. Hari ini, WSJ melaporkan perkara sama, dan berkongsi beberapa info tambahan.

Seperti diperkatakan sebelum ini, telefon Samsung ini dijangka membawakan panel paparan bersaiz 7-inci yang boleh dilipat dua. Secara kasarnya, apabila dibuka, ia akan menawarkan skrin bersaiz 7-inci seumpama tablet, tetapi ia boleh dilipat dan dimasukkan dalam saku untuk dibawa kemana-mana.

Samsung Galaxy X

Menurut WSJ, apabila ia dilipat, ia akan menyertakan sebuah bar paparan kecil pada bahagian hadapan, dan kamera pada bahagian belakang.

Telefon pintar dengan rekaan boleh-lipat ini dijangka dikeluarkan dengan kuantiti terhad untuk peringkat awal, dan dijangka dilancarkan pada awal 2019 kelak. Hal ini bukan sesuatu yang baru. Malah, sebelum ini Samsung turut menggunakan kaedah sama ketika pengenalan peranti dengan skrin melengkung ditepi melalui pengenalan Note Edge. Teknologi berkenaan kemudian diperluaskan ke peranti keluarga lain, dan Samsung dijangka melakukan perkara sama melalui peranti baru ini.

Samsung juga dikatakan mungkin menyasarkan peminat permua (permainan mudah-alih) melalui telefon pintar ini. Secara tidak langsung, ini memberikan petanda yang mana telefon pintar ini akan membawakan spesifikasi yang tinggi. Malah, dengan penawaran teknologi terbaru ini, ia dijangka turut membawakan harga yang mahal bersama dengannya.

Penawaran peranti dengan rekaan boleh-lipat bukan sesuatu yang baru. Tetapi, kebiasaannya, dua skrin akan dihubungkan melalui bahagian bingkai ditengah. Untuk peranti Samsung yang dikenali dengan nama kod “Winner” ini pula, ia berbeza, dimana ia hadir dalam bentuk satu panel skrin yang boleh dilipat menjadi dua.

Kita mungkin mendengar lanjut mengenai telefon pintar Samsung ini dalam bulan-bulan akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd