Cari @ Amanz

Media di mana-mana negara sekalipun tertakluk kepada undang-undang yang ketat kerana mereka dianggap sebagai sumber maklumat yang sahih. Di Malaysia terdapat undang-undang yang sama yang memastikan media hanya melaporkan berita dengan sumber yang boleh dipercayai. Terdapat pelbagai kriteria perlu dipenuhi sebelum sesebuah syarikat layak dianggap sebagai media.

Di Mesir lain pula ceritanya. Undang-undang mengenai penggunaan media sosial telah digubal di negara Firaun ini yang menjadikan mana-mana akaun sosial serta laman dengan lima ribu pengikut sebagai media. Ini bermakna akaun Twitter, Facebook, Instagram atau laman web dengan lima ribu pengikut perlu mematuhi undang-undang media.

Kerajaan Mesir berkata undang-undang ini digubal bagi menentang penularan “berita palsu” tetapi pembangkang melihatkan sebagai satu lagi taktik kotor Presiden Abdel Fattah el-Sisi untuk mengekang kebebasan suara. Ribuan rakyat Mesir telah dipenjarakan kerana menentang pemerintahan diktator beliau.

Semakin banyak negara dunia ketiga meletakkan pelbagai halangan atas talian apabila rakyat mula bersuara. Rakyat Uganda awal bulan ini, perlu membayar “cukai media sosial” yang membebankan kerana pemerintah mahu menentang berita palsu. Negara kita juga menjadi yang pertama mewartakan akta berita palsu sebelum PRU bagi menghalang penyebaran berita negatif mengenai pemimpin kerajaan pemerintah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd