Cari @ Amanz

Siri Laptop Acer TravelMate Diberi Rekaan Menarik Dan Spesifikasi Berkuasa Untuk Kegunaan Pejabat – Bermula Dari Harga RM2499

Oleh Nazrin

Link Copied!

Di acara pengumuman peranti-peranti pejabat baru Acer hari ini, Acer Malaysia menunjukkan siri-siri laptop Acer TravelMate terbaru mereka, yang terdiri daripada siri Acer TravelMate X3410 dan juga siri Acer TravelMate P2 yang dibina khusus untuk kegunaan pejabat.

Kedua-dua siri laptop ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi kelapan Coffee Lake, dan dilengkapi dengan sejumlah memori yang cukup besar, sehingga 32GB dan juga storan SSD sehingga 512GB, dan Acer menjanjikan jangka hayat bateri sehingga 15 jam dengan satu pengecasan penuh.

Kedua-dua siri laptop ini dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 14 inci, manakala dari segi resolusi pula, siri laptop Acer TravelMate P2 ini hadir dengan pilihan resolusi HD (1366×768) dan Full HD (1920×1080), manakala paparan Acer TravelMate X3410 hadir dengan skrin beresolusi Full HD.

Kedua-dua laptop ini juga dilengkapi dengan sistem penyulitan TPM 2.0 (Trusted Platform Module) yang akan menyulitkan fail-fail penting anda supaya anda tidak perlu risau mengenai fail-fail tersebut dicuri, walaupun laptop anda digodam. Salah satu ciri menarik yang hadir pada laptop Acer TravelMate X3410 ini ialah palam USB Type-C boleh digunakan untuk mengecas laptop tersebut.

Bagi mereka yang berminat untuk memiliki laptop Acer TravelMate ini, Acer Malaysia menyatakan bahawa siri Acer TravelMate P2 sudahpun memasuki pasaran Malaysia dan boleh dibeli bermula dari harga RM2499, manakala laptop Acer TravelMate X3410 pula akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan September kelak pada harga RM3999 untuk model Intel Core i5 dan RM4899 untuk model dengan CPU Intel Core i7.


Komen ()