Google Fuchsia OS Dijangka Terus Menjayakan Android Dalam Tempoh Sekitar 5 Tahun

Google Fuchsia OS Dijangka Terus Menjayakan Android Dalam Tempoh Sekitar 5 Tahun

Diterbitkan pada July 20, 2018 oleh .

Projek Fuchsia bukan sesuatu yang baru, malah telah dibangunkan dalam bentuk sumber terbuka oleh Google sejak sekitar dua tahun lepas. Pihak Google sendiri tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan sistem operasi yang sedang dalam pembangunan berkenaan sehingga kini.

Seperti pernah dikongsikan sebelum ini, Projek Fuchsia sedang dibangunkan daripada asas, dan dijangka akan menawarkan sekuriti dan prestasi lebih baik. Hari ini, pihak Bloomberg turut hadir dengan beberapa info tambahan mengenainya.

Menurut Bloomberg, pasukan pembangun Fuchsia terus berkembang dari hari ke hari. Ini sekaligus memberikan petanda seumpama Google serius dengan projek ini, dan ia dikatakan mungkin menggantikan sistem operasi Android yang dominan pada hari ini.

Telefon

Projek Fuchsia diperkatakan mungkin menjadi sistem utama untuk menjalankan dan menyokong pelbagai penawaran peranti daripada Google – termasuk peranti berhubung, speaker pintar, telefon pintar, komputer riba dan sebagainya. Hal ini sekaligus memperlihatkan ia mungkin akan menjadi tunjang utama menggantikan Android dan Chrome OS.

Seperti ramai sedia maklum, Android dan ChromeOS adalah berasaskan kepada Linux – dan mempunyai sejumlah kod yang mungkin tidak digunakan, sekaligus membuatkan prestasinya tidak begitu memuaskan, selain memerlukan pelbagai sokongan tambahan. Memandangkan Fuchsia dibangunkan daripada asas, maka ia dijangka akan mengatasi pelbagai masalah, dan boleh diintegrasikan dengan sokongan pelbagai teknologi terkini – termasuk memastikan ia menerima kemaskini dengan pantas.

Bagi kami sendiri, kami melihat sebagai Fuchsia mungkin menjadi salah satu tunjang sistem utama – dan mungkin Google masih kekal menggunakan jenama Android yang digunakan ramai. Ia mungkin seumpama apa yang dilakukan Microsoft dalam menggantikan MS-DOS kepada kernel NT beberapa tahun yang lepas.

Apa pun, berbalik kepada Projek Fuchsia, pihak Google masih tidak bercakap mengenainya secara rasmi – sekaligus membuatkan ia masih dikategorikan sebagai “eksperimen” sahaja buat masa ini.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan info lanjut mengenai inisiatif dan projek Fuchsia ini.


TIPS & ULASAN