Vivo Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu Vivo NEX. Telefon pintar ini hadir dengan spesifikasi terkini, serta menggunakan rekaan nirbingkai dan kamera hadapan yang boleh disembunyikan.
Vivo NEX hadir dengan skrin 6.59-inci dengan resolusi HD+ penuh, dijana cip Snapdragon 845, memori 8GB RAM, dan storan 128GB. Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah bateri berkapasiti 4000mAh.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah bahagian kamera hadapan dengan sensor 8-megapixel yang boleh disembunyikan, selain dwi-kamera belakang 12MP + 5MP. Vivo turut menyertakan sokongan kecerdasan buatan pada bahagian kamera bagi menghasilkan rakaman yang lebih cantik berbanding biasa.
Selain daripada bahagian kamera, untuk bunyi pendengaran panggilan, Vivo menggunakan Screen Soundcasting Technology, dan turut menyembunyikan beberapa sensor disebalik skrin berkenaan. Langkah ini dilakukan dalam usaha untuk hadir dengan rekaan peranti nirbingkai – dan tidak menggunakan takuk seperti pelbagai peranti lain di pasaran. Vivo NEX juga turut hadir dengan sokongan pengimbas cap jari terbina pada skrin.
Vivo NEX menggunakan Android 8.1 Oreo, dan hadir menggunakan antaramuka khusus bersama-sama dengannya.
Di Malaysia, Vivo NEX ditawarkan pada harga RM2799, dan akan mula dijual bermula 28 Julai 2018 kelak.