Kereta terbang CityHawk keluaran Urban Aeronautics pernah kami paparkan tahun lalu sebagai konsep. Ianya unik di kalangan kenderaan terbang kerana memulakan hidup sebagai ambulan terbang AirMule untuk kegunaan di medan perang. Pihak UA kini mengesahkan pembangunan CityHawk sedang dipertingkatkan bagi memulakan operasi seawal 2021.
CityHawk direka untuk membawa sehingga enam orang penumpang. Ia dilengkapi dua kipas gergasi yang memberikan kemampuan terbang menegak. Kipas ini tertutup (ducted) dan ini menjadikannya lebih selamat digunakan di kawasan bandar. Saiz CityHawk juga adalah sama seperti sebuah kereta sedan. Menurut UA lagi, CityHawk lebih senyap berbanding helikopter dan kenderaan terbang lain yang dibangunkan.
Pada peringkat awal CityHawk akan menggunakan enjin bahan api konvensional yang menjana elektrik untuk dua motor elektrik. Ia kemudian akan diubahsuai untuk menggunakan sel hidrogen. Ini memberikannya kemampuan terbang yang lebih lama dan pantas (sehingga 270 kmj) berbanding kenderaan terbang elektrik lain.