Cari @ Amanz

Pada minggu ni, Panasonic dilihat sedang mengadakan roadshow untuk siri televisyen 4K mereka di kompleks membeli-belah 1 Utama, dan diantara model-model yang ditunjukkan di acara tersebut ialah Panasonic FZ1000 dan juga Panasonic FZ950,

Televisyen Panasonic FZ1000 ini hadir dengan paparan bersaiz 65 inci, dan mempunyai resolusi 4K yang semakin menjadi kebiasaan kebelakangan ini. Ia menggunakan paparan OLED yang bukan sahaja menjanjikan warna yang lebih bertenaga, tetapi juga warna hitam dan putih yang lebih tepat berbanding dengan jenis-jenis paparan yang lain.

Dalam pada itu, ia juga menggunakan teknologi paparan Hexa Chroma Drive Pro, dan ditala untuk memberi sokongan gamut warna DCI sebanyak 98 peratus. Apa yang cukup menarik di sini ialah televisyen FZ1000 ini digunakan oleh juruwarna di Hollywood untuk memastikan warna-warna yang ditunjukkan di dalam filem-filem terbitan mereka adalah tepat dan seperti yang dikehendaki oleh pengarah filem.

Televisyen FZ1000 ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi HDR10+ yang juga menjanjikan penghasilan yang lebih menarik. Dari segi aksesori, ia juga dilengkapi dengan sebuah pembesar suara bar Dynamic Blade Speaker yang meningkatkan lagi mutu audio televisyen ini, dan di samping itu, sebuah pengawal televisyen dengan ciri sesentuh yang memudahkan anda untuk melayari menu-menu televisyen ini.

Juga ditunjukkan di acara tersebut ialah televisyen Panasonic FZ950 yang hadir dengan pilihan paparan bersaiz 65 dan 55 inci yang hadir dengan resolusi yang sama. Televisyen FZ950 ini hadir dengan semua teknologi paparan yang sama dengan FZ1000, dan perbezaan diantara kedua-dua skrin ini ialah model FZ950 tidak hadir dengan pembesar suara Dynamic Blade Speaker dan pengawal televisyen dengan ciri sesentuh.

Kedua-dua televisyen 4K Panasonic FZ1000 dan FZ950 kini boleh dibeli di rangkaian kedai-kedai elektronik di seluruh Malaysia pada harga- harga berikut:

  • Panasonic FZ1000 – RM18,999
  • Panasonic FZ950 (55 inci) – RM9599
  • Panasonic FZ950 (65 inci) – RM13,999
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd