Pandang Pertama: Xiaomi Mi A2 Lite – Android One Dengan Bateri 4000 mAh

Pandang Pertama: Xiaomi Mi A2 Lite – Android One Dengan Bateri 4000 mAh

Diterbitkan pada July 25, 2018 oleh .

Xiaomi Mi A2 Lite
Skrin 5.84” IPS LCD, FHD+
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x 2.0 GHz Cortex-A53
GPU Adreno 506
Memori 3GB/4GB RAM
Storan 32GB/64GB + microSD
Kamera Utama 12MP f/2.2 + 5MP
Kamera Hadapan 5MP, f/2.2
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Micro USB
IR blaster
Sistem Android 8.1 Oreo (Android One)
Bateri 4000 mAh, pengecas 10W
Berat & Ketebalan 178g, 8.8mm

Buat julung kalinya, Xiaomi kini telah hadir dengan versi Lite untuk siri Mi A dengan Android One, yang direka untuk menawarkan harga jualan yang lebih berpatutan. Dengan perkembangan positif dari model Mi A1 pada tahun lalu, nampaknya Xiaomi ingin terus memasarkan peranti Android One ini kepada lebih ramai pengguna, terutama yang ingin mencuba peranti dengan pengalaman Android asli. Xiaomi Mi A2 Lite adalah peranti yang dipertanggungjawabkan untuk menjayakan usaha ini, dalam membantu perkembangan peranti Android One ini lebih ke hadapan.

Seperti Xiaomi Mi A2 yang menawarkan spesifikasi seperti Xiaomi Redmi 6X, Xiaomi Mi A2 Lite pula dilihat membawa spesifikasi seumpama Xiaomi Redmi 6 Pro, namun dijana dengan Android 8.1 Oreo berasaskan program Android One. Ia hadir dengan spesifikasi Redmi 6 Pro, dengan penawaran dwi-kamera dan rekaan skrin bertakuk pada bahagian hadapan. Jika dibandingkan dengan Mi A2, pesifikasinya dilihat sedikit dikurangkan, namun ada beberapa perkara ekstra yang membuatkan Xiaomi Mi A2 Lite ini lebih menarik berbanding Xiaomi Mi A2.

Rekaan

Sebagai permulaan, Xiaomi Mi A2 Lite didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan asas, seperti kehadiran skrin 5.84-inci Full HD+ dengan nisbah 19:9, cip Snapdragon 625, pilihan memori 3GB/4GB RAM, dan pilihan storan dalaman 32GB/64GB bersama sokongan microSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth 4.2, IR blaster, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Xiaomi Mi A2 Lite membawakan rekaan yang sama seperti Redmi 6 Pro, dengan membawa binaan berasaskan logam di bahagian belakang. Binaannya terasa sangat kukuh, disamping hadir dengan saiz yang lebih kompak (dengan saiz 5.84-inci) berbanding Xiaomi Mi A2 (dengan skrin 5.99-inci). Di bahagian belakang ini turut menempatkan pengimbas cap jari, selain menempatkan perletakkan kamera secara menegak seperti kebanyakan peranti Xiaomi keluaran tahun ini. Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Black Stone, Bali Blue, dan Gold, berbanding Redmi 6 Pro yang telah ditawarkan dalam dua warna tambahan seperti Cherry Blossom dan Red Flame.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim dan kad microSD (dengan penawaran slot berasingan) ditempatkan di bahagian kiri. Di bahagian atas peranti pula, ia membawa port IR blaster (untuk kebolehan mengawal perkakasan elektrik seperti TV), selain mengekalkan sambungan 3.5mm earphone jack seperti Xiaomi Mi A1. Di bahagian bawah pula, ia menempatkan saluran pembesar suara mono, namun masih menawarkan sambungan micro-USB berbanding USB-C yang digunakan pada Mi A1/A2.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 5.84-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19:9. Tidak seperti Mi A2, Xiaomi Mi A2 Lite hadir dengan rekaan bertakuk, yang mana tidak boleh disorokkan secara natif buat masa ini. Bercakap mengenai kualiti skrinnya, ia kelihatan masih baik seperti Mi A2, namun tidak menampilkan sebarang penggunaan kaca Corning Gorilla Glass untuk melindungi paparan peranti ini.

Dari segi variasi, Xiaomi Mi A2 Lite hadir dengan dua variasi iaitu 3GB RAM/32GB dan 4GB RAM/64GB. Tidak seperti Mi A2 yang perlu bergantung sepenuhnya pada storan dalaman, Xiaomi Mi A2 Lite masih menawarkan slot kad microSD dengan kebolehan peningkatan storan sehingga 256GB.

Sistem

Xiaomi Mi A2 Lite dijana dengan Android 8.1 Oreo berasaskan Android One, dengan penampilan antaramuka Android asli. Ia kelihatan sangat kemas dan menyerupai antaramuka yang hadir pada Google Pixel, namun terdapat sedikit penambahan aplikasi daripada Xiaomi sendiri seperti Mi Remote, Mi Drop, dan Feedback. Seperti Mi A1, aplikasi kameranya juga diambil daripada kamera MIUI, walaupun ikon aplikasi kamera adalah sama seperti ikon Google Camera.

Dengan program Android One, terdapat tiga perkara menarik yang dibawa bagi membolehkan pengguna merasai pengalaman Android sebenar tanpa sebarang pengubahsuaian yang besar daripada pengeluar.

Antaranya sokongan antaramuka yang minimal tanpa bebanan daripada penggunaan antaramuka yang berat untuk melancarkan prestasi peranti. Selain itu, peranti Android One juga akan menerima manfaat seperti kemaskini sekuriti yang lebih pantas, seumpama yang ditawarkan pada peranti Google Pixel. Tetapi apa yang membuatkan ia menarik sekali, peranti dengan Android One ini dijangka bakal menerima satu atau dua versi Android besar, yang mana bakal diedarkan secara berperingkat pada masa akan datang.

Kamera

Dari segi kameranya pula, Xiaomi Mi A2 Lite membawa sensor yang berbeza berbanding Mi A2, melalui padanan sensor utama 12MP f/2.2 dan sensor kedua 5MP f/2.2 untuk keupayaan membuat bokeh. Dengan harga peranti yang berpatutan, ia tidak didatangan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik berasaskan gyro (gyro-EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan penggambaran. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu LED flash dengan sokongan pencahayaan dwi-tona warna.

Dari segi fungsi, Xiaomi Mi A2 Lite hanya menawarkan rakaman setinggi [email protected], berbanding Mi A2 yang menyokong rakaman [email protected] Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia menawarkan kamera 5MP f/2.2 dengan pengoptimasian AI, tanpa sebarang perletakkan LED flash seperti yang terdapat pada Mi A2. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti Professional Mode, Beautify Mode, dan Panorama untuk dipadankan pada kegunaan fotografi anda.

Prestasi

Xiaomi Mi A2 Lite masih membawakan cip pemprosesan yang sama seperti Mi A1 melalui penggunaan cip Snapdragon 625. Ia membawakan cip lapan-teras Cortex-A53 2.0 GHz dengan penggunaan GPU Adreno 506. Ia juga membawakan memori 4GB RAM, dalam memberi kelancaran ketika melakukan multitasking atau ketika memainkan permainan. Dari segi percubaan awal, prestasi yang diberikan sangat lancar, terutama ketika membuka dan membuat penukaran aplikasi.

Bateri

Berbeza dengan Mi A2 yang hanya hadir dengan bateri 3000 mAh, Mi A2 Lite dilihat menawarkan kapasiti bateri setinggi 4000 mAh. Dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Snapdragon 625, ia dijangka dapat memberi penggunaan melebihi dua hari seperti yang diperkatakan pada bahan pemasaran peranti ini.

Melalui pengalaman menggunakan peranti Snapdragon 625 dengan bateri 4000 mAh, ia mampu memberi bacaan SoT sekitar 7 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Ia tidak dilengkapi dengan pengecasan pantas standard, namun Xiaomi masih menawarkan pengecas 10W untuk mengurangkan masa pengecasan peranti ini.

Rumusan

Xiaomi Mi A2 Lite boleh dikatakan membawa penawaran seumpama Mi A1 dengan mengekalkan penggunaan cip Snapdragon 625, bersama sambungan 3.5mm earphone jack. Ia juga masih lagi menawarkan slot microSD, yang mana fungsi ini tidak lagi ditawarkan pada Xiaomi Mi A2. Ia juga membawa kapasiti bateri 4000 mAh, (berbanding Mi A1 yang hanya dengan kapasiti 3080 mAh) disamping menerima manfaat daripada penggunaan nisbah skrin moden 19:9.

Cuma kekurangannya berbanding Mi A1, ia tidak menawarkan sokongan USB-C, dengan hanya bergantung pada sambungan micro USB untuk sokongan pemindahan data dan pengecasan. Ia juga tidak dilengkapi dengan LED flash pada bahagian hadapan selain tidak membawakan sokongan zoom optikal pada kamera kedua.

Antara perkara yang menjadi kekurangan peranti ini berbanding Mi A2 adalah dari segi cip yang digunakan, keupayaan kamera, dan ketiadaan sambungan USB-C. Tetapi yang menariknya, Mi A2 Lite ini hadir dengan fungsi ekstra yang tiada pada Mi A2 seperti slot microSD, dan sambungan earphone jack. Ia juga menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar (4000 mAh vs 3010 mAh), jadi Mi A2 Lite ini dilihat lebih disasarkan untuk pengguna yang mahukan penawaran yang lebih lengkap dan ketahanan bateri lama, berbanding mengutamakan prestasi dan keupayaan kamera yang lebih tinggi.

Untuk jualannya, harga rasmi yang disenaraikan melalui mata wang Euro agak tinggi, iaitu 179 euro untuk variasi 3GB RAM + 32GB dan 229 untuk variasi 4GB RAM + 32GB. Harga ini sebenarnya lebih rendah berbanding Xiaomi Redmi Note 5 di pasaran Eropah (3GB/32GB = 197 euro, 4GB/64GB = 249 euro), jadi kami menjangkakan ia berada pada harga di antara Redmi S2 (RM679) dan Redmi Note 5 (RM749) bagi variasi 3GB RAM + 32GB. Tarikh pelancarannya di Malaysia masih tidak diketahui, namun ia bakal dibawa masuk seawal Ogos ini.


TIPS & ULASAN