Pandang Pertama: Xiaomi Mi A2 – Variasi Xiaomi Mi 6X Dengan Android One

Pandang Pertama: Xiaomi Mi A2 – Variasi Xiaomi Mi 6X Dengan Android One

Diterbitkan pada July 25, 2018 oleh .

Xiaomi Mi A2
Skrin 5.99” IPS LCD, FHD+
Nisbah 18:9, 403 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.2 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 4GB/6GB RAM
Storan 32GB/64GB/128GB eMMC 5.1
Kamera Utama 12MP f/1.75 + 20MP f/1.75
Kamera Hadapan 20MP f/2.2
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
IR blaster
Sistem Android 8.1 Oreo (Android One)
Bateri 3010 mAh, pengecas 10W
Berat & Ketebalan 166g, 7.3mm

Xiaomi telah membawa program Android One pada Xiaomi Mi A1 sejak setahun yang lalu, dengan penawaran antaramuka Android asli dan sokongan kemaskini sekuriti secara pantas. Peranti ini cukup popular dalam kalangan peranti Xiaomi, yang mana turut dibantu dengan spesifikasi yang sangat baik melalui harga jualan peranti yang berpatutan. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai sokongan dwi-kamera setaraf flagship, selain menghadirkan sambungan USB-C yang dilihat cukup berbaloi untuk harganya.

Selepas setahun pengenalan Mi A1, Xiaomi Mi A2 dilihat hadir dengan sejumlah penaiktarafan terutama dari segi prestasi dan kamera. Ia juga dilengkapi dengan skrin penuh untuk memenuhi trend rekaan masa kini, selain menyajikan pengoptimasian artificial intelligence (AI) pada kameranya. Namun ia juga terdapat sedikit kekurangan berbanding Mi A1, yang mana akan dikupaskan di dalam artikel pandang pertama ini.

Rekaan

Xiaomi Mi A2 didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan premium, seperti kehadiran skrin 5.99-inci Full HD+ dengan nisbah 18:9, cip Snapdragon 660, pilihan memori 4GB/6GB RAM, dan pilihan storan dalaman 32GB/64GB/128GB eMMC 5.1 tanpa sokongan kad microSD. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, IR blaster, bersama kapasiti bateri 3010 mAh.

Xiaomi Mi A2 hadir dengan rekaan yang serupa seperti Redmi 6X, dengan menawarkan binaan berasaskan logam di bahagian belakang. Binaannya terasa seperti memegang Xiaomi Mi A1, yang mana terasa kukuh dan selesa apabila berada di tangan. Menariknya, Xiaomi kini telah membekalkan silicon case bersama-sama pembelian Mi A2 untuk melindungi binaan peranti. Di bahagian belakang ini, ia turut mengekalkan kedudukan pengimbas cap jari yang sama, disamping menawarkan perletakkan kamera secara menegak. Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Black Stone, Bali Blue, dan Gold, yang mana boleh dipilih sewaktu pembelian peranti.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim (2 x nano SIM) berada pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti pula, ia masih menawarkan port IR blaster bagi membolehkan peranti dijadikan sebagai alat kawalan jauh. Di bahagian bawah pula, ia menempatkan saluran pembesar suara mono dan USB-C, namun tidak lagi menawarkan sambungan 3.5mm earphone jack. Namun Xiaomi ada membekalkan adapter USB-C ke 3.5mm bersama-sama pembelian peranti ini.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 5.99-inci, dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 18:9. Tidak seperti Mi A2 Lite, ia tidak didatangkan dengan rekaan bertakuk, dengan mengekalkan rekaan skrin bingkai nipis standard seperti Xiaomi Redmi Note 5. Untuk kualiti skrinnya, ia masih sama seperti Mi A1 dengan viewing angle yang amat baik, bersama perlindungan paparan terkini berasaskan kaca Corning Gorilla Glass 5.

Dari segi variasi, Xioami Mi A2 ditawarkan dalam tiga variasi iaitu 4GB RAM/32GB, 4GB RAM/64GB, dan 6GB RAM/128GB. Tidak seperti Mi A1, ia kini tidak lagi menawarkan slot kad microSD sekaligus memerlukan anda memilih variasi yang lebih tinggi untuk mengelakkan isu kekurangan storan pada peranti.

Sistem

Xiaomi Mi A2 dijana dengan Android 8.1 Oreo berasaskan Android One, dengan penampilan antaramuka Android asli. Ia kelihatan sangat kemas dan menyerupai antaramuka yang hadir pada Google Pixel, namun terdapat sedikit penambahan aplikasi daripada Xiaomi sendiri seperti Mi Remote, Mi Drop, dan Feedback. Seperti Mi A1, aplikasi kameranya juga diambil daripada kamera MIUI, walaupun ikon aplikasi kamera adalah sama seperti ikon Google Camera.

Dengan program Android One, terdapat tiga perkara menarik yang dibawa bagi membolehkan pengguna merasai pengalaman Android sebenar tanpa sebarang pengubahsuaian yang besar daripada pengeluar.

Antaranya sokongan antaramuka yang minimal tanpa bebanan daripada penggunaan antaramuka yang berat untuk melancarkan prestasi peranti. Selain itu, peranti Android One juga akan menerima manfaat seperti kemaskini sekuriti yang lebih pantas, seumpama yang ditawarkan pada peranti Google Pixel. Tetapi apa yang membuatkan ia menarik sekali, peranti dengan Android One ini dijangka bakal menerima satu atau dua versi Android besar, yang mana bakal diedarkan secara berperingkat pada masa akan datang.

Kamera

Dari segi kameranya pula, Xiaomi Mi A2 membawa perubahan sensor berbanding Mi A1, melalui padanan sensor utama 12MP f/1.75 bersama sensor kedua 20MP f/1.75 untuk membantu penggambaran malam dan penghasilan bokeh. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik berasaskan gyro (gyro-EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran. Ia juga dilengkapi dengan LED flash bersama pencahayaan dwi-tona warna dalam memberi hasilan yang lebih neutral ketika ia digunakan.

Dari segi fungsi, Xiaomi Mi A2 mampu membuat rakaman setinggi [email protected] selain hadir dengan rakaman gerak perlahan [email protected] Dari segi keupayaan kamera hadapan, ia membawakan sensor 20MP f/2.2 dengan sokongan AI, bersama-sama LED flash untuk penggambaran di bawah pencahayaan malap. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti Pro Mode, Portrait Mode, Beautify Mode, dan Panorama sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran.

Prestasi

Xiaomi Mi A2 dijana dengan cip pemprosesan seumpama Mi Note 3 melalui penggunaan cip Snapdragon 660. Ia membawakan cip lapan teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Kyro 260 2.2 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Kyro 260 1.8 GHz untuk kegunaan standard secara efisien. Ia juga membawa pilihan memori 4GB/6GB RAM, yang dilihat mampu memberi kelancaran yang optimum ketika membuat pertukaran aplikasi atau memainkan permainan grafik intensif. Dari percubaan awal saya, prestasi ini dapat memberi prestasi yang sangat pantas, selain mampu memainkan permainan PUBG Mobile pada tetapan grafik sederhana.

Bateri

Xiaomi Mi A2 masih menawarkan kapasiti bateri standard iaitu 3010 mAh, yang mana agak kecil jika dibandingkan dengan Mi A2 Lite yang hadir dengan kapasiti 4000 mAh. Namun dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Snapdragon 660, ia dijangka dapat memberi penggunaan satu hari penuh melalui penggunaan standard.

Dengan kapasiti bateri ini dan cip 14nm, kami menjangkakan ia mampu memberi bacaan SoT sekitar 5-6 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Xiaomi tidak menyatakan peranti ini menyokong pengecasan pantas, namun ia boleh dicas dengan lebih pantas sekiranya anda menyambungkannya ke pengecas yang menyokong piawaian Qualcomm Quick Charge 3.0.

Rumusan

Xiaomi Mi A2 membawa peningkatan peranti yang lebih tinggi berbanding Xiaomi Mi A1, seperti kehadiran skrin penuh 18:9, cip Snapdragon 660, bersama penawaran memori dan storan yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, keupayaan kameranya juga telah ditambahbaik dari segi penggambaran low-light, selain menawarkan keupaayan Artificial Intelligence (AI) untuk kawalan dynamic range yang lebih seimbang. Ia turut hadir dengan penaiktarafan kamera hadapan 20MP + LED flash, penggunaan memori LPDDR4X, dan sambungan Bluetooth 5.0.

Namun Xiaomi Mi A2 juga membawa beberapa perubahan berbanding Mi A1 ini seperti ketidakhadiran 3.5mm earphone jack yang sedikit sebanyak menyukarkan penyambungan headset dengan penggunaan adapter. Kapasiti baterinya juga sedikit dikurangkan dari 3080 mAh ke 3010 mAh, disamping tidak lagi menawarkan keupayaan 2x zoom optikal seumpama yang ditawarkan pada iPhone 7/8 Plus. Tetapi sokongan terbesar yang telah dikurangkan ialah ketiadaan slot microSD, sekaligus memerlukan pengguna bergantung sepenuhnya kepada storan dalaman yang dibekalkan.

Xiaomi Mi A2 dilihat mengikuti penawaran sejumlah flagship seperti mengeluarkan 3.5mm earphone jack, ketiadaan slot microSD, dan tidak menawarkan kapasiti bateri yang lebih besar. Berbeza dengan Mi A2 Lite, ia dilihat lebih lengkap (kerana tidak mempunyai ketiga-tiga kekurangan ini), walaupun terdapat kekurangan dari segi cip pemprosesan, kamera, dan penggunaan sambungan micro USB. Secara kasarnya, Xiaomi Mi A2 ini lebih direka untuk yang mahukan prestasi dan keupayaan kamera yang lebih tinggi, manakala Mi A2 Lite pula disasarkan untuk penawaran peranti yang seimbang dan menawarkan kapasiti bateri yang lebih lama.

Untuk jualannya, harga rasmi yang disenaraikan melalui mata wang Euro agak tinggi, iaitu 249 euro (4GB/32GB), 279 euro (4GB/64GB), dan 349 euro (6GB/128GB). Sebagai perbandingan, harga rasmi Xiaomi Redmi Note 5 (4GB/64GB) di Eropah ialah 249 euro, jadi kami menjangkakan harga bagi model asas Mi A2 (4GB/32GB) adalah berada pada harga sekitar RM999. Untuk tarikh pelancarannya di Malaysia masih tidak diketahui, namun ia dijangka akan dibawa masuk seawal Ogos ini.


TIPS & ULASAN