Honor sebelum ini sedia mengumumkan peranti memfokuskan permainan video mereka, Honor Play di China. Kini, Honor Malaysia mengesahkan kehadiran peranti berkenaan, dan menjadualkan pelancaran peranti berkenaan di Malaysia pada 7 Ogos kelak.
Dengan fokus terhadap permainan video, ia hadir dengan ciri GPU Turbo yang menawarkan keupayaan grafik tambahan kepada beberapa permainan terpilih – iaitu Mobile Legends dan juga PUBG Mobile. Ia sekaligus menawarkan keupayaan FPS tambahan berbanding kebiasaan, selain turut menjimatkan penggunaan bateri sehingga 30%.
Honor turut mengatakan telefon pintar ini menawarkan pengalaman permainan 4D, dimana ia menawarkan kesan gegaran yang berbeza berdasarkan kepada senjata yang digunakan. Pengguna juga turut boleh menikmati pengalaman bunyi 3D apabila dihubungkan bersama fon kepala ke peranti ini.
Untuk tidak menganggu pengalaman anda ketika bermain, Honor turut menyertakan aplikasi Game Suite yang menghalang gangguan ketika dalam permainan, dan lebih mengoptimasikan kadar komunikasi kepada rangkaian internet.
Dari segi spesifikasi, Honor Play hadir dengan skrin 6.3-inci, dijana cip Kirin 970, memori 4GB RAM, dan storan 64GB. Ia turut menyertakan bateri berkapasiti 3750mAh bersama-sama dengannya. Melengkapkan ia juga adalah dwi-kamera belakang 16MP + 2MP, selain kamera hadapan 16MP.
Buat masa ini, harga jualannya di Malaysia masih tidak diketahui lagi. Kita mungkin mendengar lanjut mengenainya pada pelancaran rasmi 7 Ogos kelak.