Cari @ Amanz

Neffos ialah sebuah jenama peranti pintar dibawah naungan TP-Link yang dikenali untuk peranti-peranti pintar mereka yang hadir pada harga mampu milik.

Pada hari ini, Neffos Malaysia mengumumkan kehadiran peranti pintar terbaru mereka, Neffos X9 untuk pasaran Malaysia. Ia hadir dengan paparan skrin FullView bersaiz 5.99 inci dengan resolusi HD+ 1440×720 dan ratio 18:9 yang sering digunakan oleh pelbagai peranti di pasaran sekarang ini.

Dari segi spesifikasi, peranti Neffos X9 ini dilengkapi dengan CPU empat teras MediaTek MTK6750 bersama-sama dengan pilihan memori dan storan 3GB+32GB ataupun 4GB+64GB. Dari segi sistem operasi pula, peranti ini dimuatkaan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo. Storan peranti ini juga boleh dilanjutkan sehingga 128GB menggunakan kad microSD.

Neffox X9 juga mempunyai sistem dwi-kamera 13MP + 5MP f/2.0 di bahagian belakang yang juga mempunyai sistem pemfokusan Phase Detect Autofocus (PDAF) yang menjanjikan gambar-gambar yang tajam.

Dalam pada itu, peranti ini juga dilengkapi dengan kamera pandang hadapan 8MP yang bukan sahaja boleh digunakan untuk mengambil gambar swafoto yang menarik, tetapi juga dipadankan dengan sistem nyah-kunci muka yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan dan juga pemetaan muka yang mengambil 106 titik muka untuk memastikan penyahkuncian yang tepat dan selamat.

Bateri bersaiz 3060mAH dimuatkan di dalam peranti ini, dan untuk mengecasnya dengan pantas, ia menyokong sambungan USB-C dengan pengecasan 5V2A, Sayangnya, nampaknya Neffos telah membuang sokongan untuk palam 3.5mm untuk fon telinga daripada peranti ini.

Neffos X9 ini boleh didapati di pasaran Malaysia bermula hari ini. Peranti dengan spesifikasi memori 3GB dan storan 32GB dijual pada harga RM599, manakala spesifikasi memori 4GB dan storan 64GB akan dijual pada penghujung bulan Ogos kelak pada harga RM799.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd